KUALA LUMPUR - Pengamal media negara disaran menimbang secara serius untuk merealisasikan cadangan mengadakan Hari Media Kebangsaan (HMK) sebagai menghargai sumbangan pengamal media kepada negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian bersedia untuk membantu merealisasikan cadangan itu namun penggerak utama projek perlu diterajui oleh 'orang kuat' media sendiri.

"Dengan itu, barulah HMK atau apa juga nama yang diberi kepadanya, akan tampak gah dan dihormati," demikian menurut Salleh, yang juga Penaung Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWN 2017) dalam kata-kata aluan 'Sekapur Sireh' pada buku atur cara majlis yang diadakan di sini, malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan hadiah kepada pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2016 (HKM 2016) pada majlis anjuran Institut Akhbar Malaysia dan Petronas itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya, Pengerusi Bersama MWM 2017 yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad Datuk Mustapa Omar, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab serta ketua-ketua pengarang media utama di negara ini.

Mengambil contoh Hari Pers Nasional (HPN), iaitu hari untuk menghargai pengamal media Indonesia yang disambut setiap tahun di negara itu, Salleh berkata program-program lain yang bertujuan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan komuniti kewartawanan perlu turut diadakan bagi memantapkan HMK.

"...adakan perbincangan-perbincangan serius mengenai profesionalisme kewartawanan dan isu semasa yang mendepani media. Ini termasuklah isu seperti fenomena berita palsu, saingan media sosial yang mencabar kewibawaan media konvensional serta isu ekonomi dan kewangan seperti kemerosotan penjualan akhbar dan pengiklanan yang beralih ke alam maya.

"Saya harap cadangan saya ini akan diberi perhatian serius oleh industri media di negara ini demi masa depan dan kelangsungan industri media kita," katanya.

Mengenai MWM 2017, Salleh mengucapkan tahniah kepada MPI atas penganjuran majlis itu yang memasuki tahun ke-36 penganjurannya serta kepada penaja utama, Petronas.

"Kepada wartawan yang menang malam ini, tahniah saya ucapkan kerana anda telah bekerja keras untuk menghasilkan karya kewartawanan yang mendapat pengiktirafan dalam memajukan bidang kewartawanan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Chamil dan Mustapa dalam kata pengantar mereka menyifatkan penganjuran MWM 2017 sebagai lambang kerjasama akrab kerajaan, badan korporat dan media.

"Tentunya kejayaan ini bukanlah kejayaan MPI semata-mata, ia adalah simbol kejayaan bersama yang akrab antara industri berita di negara ini yang diwakili oleh MPI dengan pihak kerajaan dan badan korporat yang tidak jemu-jemu menghulurkan sumbangan untuk menganjurkan perhimpunan terbesar komuniti kewartawanan Malaysia setiap tahun," kata mereka.

Seramai 37 wartawan daripada media konvensional dan media baharu yang menghasilkan karya-karya kewartawanan bermutu tinggi sepanjang tahun lepas akan diberi pengiktirafan menerusi HKM 2016.

MWM 2017 menyaksikan 291 penyertaan diterima bagi 20 kategori dipertandingkan dalam HKM 2016.

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM10,000, sijil dan trofi manakala karya terbaik akan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai dengan hadiah wang tunai RM30,000, sijil, trofi dan hadiah iringan lain.

Buat pertama kali pada MWM 2017, anugerah Tokoh Media akan diberikan kepada seorang individu yang memberi sumbangan kepada organisasi. - Bernama