SUNGAI SIPUT (U) - Seorang pesara polis maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kereta berhampiran jejantas Kampung Salak Stesen, di sini, tengahari semalam.

Lelaki berusia 68 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang wanita berusia 58 tahun dalam sebuah lagi kereta mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail mengesahkan maklumat tersebut ketika dihubungi namun butiran mangsa tidak didedahkan lagi buat masa ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Nissan Almera dipandu pesara polis tersebut datang dari Ipoh menghala Kuala Kangsar hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Honda Jazz yang berada di laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan melibatkan kedua-dua kereta itu.

“Pesara polis tersebut maut di tempat kejadian manakala wanita berusia 58 tahun itu parah dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk terima rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kes itu masih berjalan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987z

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Suhaimi Ab Samad mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 12.25 tengahari.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kemalangan melibatkan Nissan Almera dan Honda Jazz yang bertembung dari arah bertentangan.

“Didapati seorang wanita berusia lingkungan 50-an dalam kereta Honda Jazz mengalami kecederaan di kakinya.

“Manakala pemandu Nissan Almera, seorang lelaki berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, disahkan pasukan perubatan yang hadir,” katanya.

Tambah Suhaimi, anggota kemudiannya membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Wanita yang cedera itu diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan susulan. Operasi tamat sepenuhnya jam 1.40 tengahari,” ujarnya.