RANTAU PANJANG - Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menjangkakan berlaku pertambahan kadar kemasukan penduduk di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sepanjang musim perayaan kali ini.

Dianggarkan sebanyak 5,000 urusan keluar masuk sempadan, akan berlaku seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri ini, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding hari biasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pintu keluar masuk ke sempadan Malaysia-Thailand ini sesak sejak awal pagi ketika hujung minggu lalu, manakala bermula tengah hari sehingga jam 6 petang, pada hari bekerja.

Hampir sekilometer laluan kereta dan motosikal menuju ke pintu masuk Malaysia Thailand mengalami kesesakan, terutama pada waktu puncak iaitu pada jam 2 hingga 6 petang.

Ini memaksa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal lalu lintas sejak awal pagi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ini mungkin didorong oleh kepulangan anak-anak perantau dan pekerja asing sempena perayaan Aidilfitri, beberapa hari lagi.

Katanya, permohonan mendapatkan dokumen perjalanan sempadan dan pasport Antarabangsa sepanjang musim perayaan di UTC Kota Bharu juga, meningkatkan daripada 100 kepada 300.

Menurutnya, sebanyak sembilan lorong akan dibuka di ICQS Rantau Panjang, termasuk laluan motosikal dan lori, bagi melancarkan perjalanan keluar masuk sempadan.

"Kita juga akan mendapat bantuan daripada agensi lain antaranya Rela dan Polis Diraja Malaysia.

"Meskipun kesesakan lalulintas dijangka berlaku pada musim perayaan ini, namun pemeriksaan akan dijalankan seperti biasa, kerana kita tidak bertolak ansur dengan sebarang ancaman yang boleh menggugat kedaulatan Negara," katanya, selepas Majlis Berbuka Puasa bersama anggota Jabatan Imigresen Malaysia Rantau Panjang, semalam.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anggota yang bertugas sepanjang Ramadan kali ini.

Beliau berkata, jika berlaku kesesakan lalulintas di ICQS Rantau Panjang,  pihaknya berharap penduduk dapat menggunakan laluan alternatif di ICQS Bukit Bunga, Jeli dan ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat.

Bagi mengelakkan kesesakan, Wan Mohammed Saupee turut menasihati penduduk supaya memastikan dokumen perjalanan lengkap sebelum melalui proses pemeriksaan di ICQS.