PETALING JAYA - PKR sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Pas berhubung status tiga exco Pas iaitu Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib dalam pentadbiran Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah membaca kenyataan rasmi daripada jawatankuasa Pas pusat khususnya presiden Pas yang ingin bertemu dengannya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang.

"Bagaimanapun, saya perlu bincang dahulu dengan pimpinan parti dahulu sebelum perbincangan dengan Pas itu dibuat," katanya dalam sidang media selepas  Perasmian Kongres  Nasional Tahunan Wanita AMK, di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Mengulas tentang tarikh pertemuan dengan Pas itu, Azmin enggan mendedahkan perkara itu.

Katanya, yang penting tarikh itu sebelum pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Azmin turut menegaskan, ketiga-tiga exco tersebut masih dalam jawatan mereka.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang berjaya mengadakan kongres tahunan dan berharap kongres kali ini dapat memberi tumpuan dalam persiapan menghadapi PRU.

"Saya lihat semangat AMK dan Wanita sangat positif yang akan beri keyakinan dalam meneruskan perjuangan ini," katanya.