TANAH MERAH - Kegiatan licik Geng Kancil yang dipercayai aktif mencuri kereta jenis Perodua Kancil di bandar ini dan beberapa daerah lain akhirnya tumpas dalam Ops Lejang yang dijalankan bermula 7 Mac sehingga semalam.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) itu, berjaya menahan lima suspek termasuk tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30-an hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Suzaimi Mohamad berkata, polis turut merampas lapan kereta Kancil yang dipercayai dicuri dalam beberapa kes termasuk di Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan, Kota Bharu.

Menurutnya, modus operandi kumpulan terbabit adalah meleraikan komponen kenderaan yang dicuri dan menjualnya untuk meraih keuntungan mudah.

“Dalam operasi yang dijalankan di Kampung Batang Merbau kita menahan empat suspek dan kereta Kancil yang disyaki dicuri berkait kes di Machang.

“Hasil penemuan pertama dan siasatan dijalankan, kita kemudiannya menahan seorang lagi lelaki dan kereta Kancil yang turut dipercayai dicuri di kawasan Pasir Mas bersama dadah jenis syabu yang ditemui dalam poket seluar suspek,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penemuan itu, pihaknya merampas beberapa lagi kereta Kancil termasuk di Jeli dan hasil kerjasama unit MPV polis, sebanyak lapan kereta Kancil dirampas dalam tempoh seminggu operasi dijalankan.

“Ini merupakan kejayaan terbesar pihak kami untuk tahun ini atas kerjasama pasukan.

“Nasihat saya pada orang ramai supaya meletakkan kereta mereka di kawasan selamat dan tidak parkir di lokasi tersorok yang boleh mengundang kecurian,” katanya.