BINTULU – Polis menahan empat wanita, tiga daripadanya warganegara asing dipercayai menawarkan khidmat seks setelah menghubungi pelanggan secara dalam talian, dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Tanjung Batu malam semalam.

Ketua Polis Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata, salah seorang suspek itu cedera apabila nekad terjun dari tingkat satu hotel berkenaan untuk melarikan diri semasa serbuan namun berjaya ditahan oleh polis.

“Suspek yang cedera itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, empat suspek itu, seorang daripadanya wanita tempatan, berumur pertengahan 20an.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mencari pelanggan secara dalam talian dan memberi khidmat seks dengan mengenakan bayaran RM230 untuk tempoh 45 minit bagi setiap pelanggan.   

Beliau berkata, semasa serbuan yang dilakukan antara pukul 8 hingga 10.30 malam polis merampas  wang tunai dipercayai hasil daripada pelacuran berjumlah RM4,083, 14 keping kondom, empat unit telefon bimbit, tiga pasport antarabangsa dan jel pelincir.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menawarkan khidmat seks dan jika disabitkan kesalahan akan dikenakan penjara setahun atau denda atau kedua-dua sekali.

“Suspek warganegara asing juga di siasat di bawah seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial,” katanya.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan suspek bakal berdepan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali. - Bernama