• Bina stesen minyak Mustapa (tengah) diiringi Abdul Fattah (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar cemerlang sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-27 Kendali.
1 /

KUALA LIPIS - Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (Kendali) bercadang membina sebuah stesen minyak sebagai langkah mempelbagaikan kegiatan ekonomi pertubuhan terbabit.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Kendali telah mengenal pasti Kampung Mela sebagai lokasi pembinaan stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, RM400,000 akan diperuntukkan membina stesen minyak dan Kendali akan menguruskan stesen itu setelah ianya siap kelak.

Katanya, Kendali ada mendapat kelulusan tanah di peringkat daerah dan hanya menanti kelulusan kerajaan negeri.

“Hasil keuntungan daripada stesen minyak berkenaan akan dikongsi bersama ahli. Selain itu, kita juga akan menyalurkan sumbangan kepada pelajar cemerlang dan khairat kematian,” katanya ketika berucap sempena Mesyuarat
Agung Tahunan Kali ke 27 Kendali di sini, kelmarin.

Hadir merasmikan mesyuarat, Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Kendali berkata, semua koperasi di daerah ini diminta bersikap proaktif dan memahami peranan masing-masing dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, usaha pembangunan koperasi menjadi entiti berdaya saing akan menjadi lebih mudah sekiranya setiap koperasi ditubuhkan menyedari peranan masing-masing.

“Malah, tidak mustahil gerakan koperasi boleh menjadi sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti di negara maju,” katanya.