• Rumah kakitangan UiTM musnah terbakar Suziani ditenangkan keluarga sejurus tiba di rumah.
  • Rumah kakitangan UiTM musnah terbakar Keadaan dapur rumah yang hangus dalam kebakaran.
1 /

ALOR  GAJAH - Rumah pasangan suami isteri kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini musnah dalam kebakaran di Kampung Lendu, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, rumah didiami Suziani Senin, 41, dan Ahmad Nizam Nordin, 46, bersama empat anak mereka berusia antara 2 hingga 13 tahun hangus dijilat api.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika keluarga terbabit keluar meninggalkan rumah ke tempat kerja selepas menghantar anak-anak ke sekolah.

Menurutnya, ketika kejadian seorang jiran mangsa yang sedang menjemur pakaian terlihat asap tebal berkepul di belakang rumah diiringi percikan dan bunga api di bahagian dapur.

"Jiran berkenaan kemudian menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya berhenti membantu memadamkan api yang marak.

"Beberapa minit kemudian salah seorang jiran menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.

Sementara Suziani yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia dan suami berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh seorang jiran mengenai rumah pusaka yang didiaminya terbakar.

"Setibanya di rumah, saya lihat anggota bomba dan orang ramai penuh di perkarangan rumah selain api yang marak.

"Bagaimanapun saya tidak pasti berapa nilai kerugian dan bersyukur ketika kejadian tiada siapa di rumah," katanya yang berkhidmat sebagai Penolong Kanan Perpustakaan universiti terbabit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Tinggi, Ayub Saad pula berkata, pihaknya menerima panggilan awam kira-kira jam 9.09 pagi.  

"Dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah serta sebuah jentera dari Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama 14 pegawai dan anggota.  

“Setibanya di lokasi kejadian api, di bahagian dapur rumah mangsa dipadamkan kurang dari 10 minit dan dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya.  

Menurutnya, kebakara itu  turut memusnahkan hampir 80 peratus secara keseluruhannya dan punca kejadian masih disiasat manakala jumlah kerugian belum ditafsirkan.