SHAH ALAM - Penyandang Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari mengakui dia tidak merajuk dengan pucuk pimpinan tertinggi PKR yang enggan melantiknya sebagai calon di kerusi berkenaan bagi PRU14.

Menurutnya, pihaknya akur dengan keputusan pucuk pimpinan untuk tidak mencalonkannya lagi bagi penggal ketiga.

“Tidak mengapa, saya ikut sahaja arahan itu lagipun saya sudah dua penggal bergelar wakil rakyat di Dun Kota Anggerik.

“Saya tiada masalah jika terdapat calon lain yang lebih baik dan layak bertanding di kerusi berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi selepas beliau digugurkan daripada bertanding di kerusi Kota Anggerik pada PRU kali ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika di program Jelajah Harapan Selangor sebelum ini mengumumkan Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Unisel, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin sebagai calon di kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut, Yaakob memaklumkan dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana calon yang dipilih untuk bertanding di situ.

“Saya tiada masalah, saya akan terus bantu sesiapa sahaja calon yang bertanding termasuk Shaharuddin meskipun sehingga kini kami belum bertemu.

“Saya juga sudah arahkan semua jentera untuk membantu calon yang dihantar ke sini bagi memastikan Umno/BN dapat ditumbangkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa, pucuk pimpinan tertinggi PKR akan meletak calon lain di kerusi berkenaan selepas Shaharuddin menarik diri.

“Saya sendiri belum pasti siapa yang bakal dicalonkan di Dun Kota Anggerik, mungkin ada pertukaran.

“Apa pun kena tunggu dan lihat sendiri pada hari penamaan calon, Sabtu nanti,” katanya sambil menafikan dia sekali lagi akan dicalonkan di kerusi sama.