KUCHING – Sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Sebuyau, di bahagian Samarahan, lebih 100km dari sini untuk menempatkan mangsa banjir pada pukul 4 petang ini apabila paras air di Kampung Lutong, Sebangan, sekitar kawasan itu mulai naik sehingga hampir satu meter.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan malam ini memberitahu bahawa sehingga pukul 8 malam ini pusat pemindahan di Dewan Kampung Lutong itu kini menempatkan 52 orang dari 16 keluarga.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam satu kenyataan pula memberitahu petugasnya sedang memantau dengan rapi keadaan banjir di kawasan berkenaan, dan paras air kelihatan semakin menyusut, walaupun cuaca mendung pada sebelah petangnya.

Menurutnya ada juga beberapa ketua keluarga di kawasan itu yang enggan berpindah dengan alasan menjaga keselamatan rumah, namun membenarkan  anak dan isteri bermalam di pusat pemindahan yang disediakan.

Menurutnya lain-lain agensi yang turut memantau dan membantu operasi pemindahan termasuk  anggota pasukan polis, pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, Rela, pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Simunjan. - Bernama