RANTAU PANJANG – Taktik penjenayah membawa masuk pistol melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang tumpas apabila sembilan senjata api berjaya dirampas, tahun ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan (JKDM), Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, ini merupakan operasi bermula Januari hingga Mei lalu, membabitkan pemeriksaan pada penunggang motosikal.

“Mereka memasuki ICQS secara bersahaja, menunggang motosikal dan menyembunyikan senjata dalam beg,” katanya.

Selain itu bagi tempoh masa yang sama, beliau berkata, pihaknya berjaya membuat 37 tangkapan dan rampasan pelbagai barangan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Antara barang rampasan berkenaan katanya, beras, mercun, rokok dan minyak berjumlah RM769,221.16.

Menurutnya, arak mencatatkan rampasan tertinggi dengan 282.96 liter diikuti 175 kilogram beras, lima kes kosmetik tanpa kelulusan Farmasi, dua kes mercun dan satu kes metaphetamine.

Rampasan ini juga katanya, melonjakkan nilai hasil membabitkan peningkat 29.45 peratus kepada RM1,713,174 berbanding RM1,323,400 tahun lalu.

“Ini merupakan hasil kejayaan unit ‘Collaborated Border Management’ JKDM yang ditubuhkan pada April tahun lalu, kerana berjaya mematahkan cubaan membolosi sempadan dan menyeludup senjata.

“Unit ini juga melakukan pemeriksaan secara terperinci pada kenderaan, dagangan dan orang ramai yang menggunakan laluan keluar masuk sempadan malah ditambahbaik dengan meletakkan unit Anjing Pengesan (K9) di laluan penumpang,” katanya, selepas memeriksa laluan keluar masuk ICQS Rantau Panjang, semalam.