IPOH - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini yang bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku' akan lebih meriah dengan penganjuran pelbagai program yang akan diadakan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata pelbagai program diatur antaranya Kembara Merdeka Ramadan dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang menjelajah ke setiap negeri di samping melakukan kerja kebajikan seperti menziarah dan memberi sumbangan kepada warga tua serta anak yatim.

"Kita akan buat Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri semasa bulan Syawal, kita akan melaksanakan program sedemikian dengan menziarahi dan memberi bantuan kepada mereka yang kurang upaya dan terpinggir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada 11 pesara Jabatan Penerangan dan 30 anak yatim dari Rumah Anak Al-Mubarakah di Auditorium Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini malam tadi.

Majlis pelancaran Kembara Jalur Gemilang dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Ogos di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.

"Mulai daripada itu, kita akan menjelajah seluruh negara mengajak rakyat untuk sama-sama menzahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing, rumah, kedai, bangunan kerajaan termasuk pada kenderaan masing-masing," katanya.

Katanya perarakan Hari Kemerdekaan ke-56 akan diadakan di Dataran Merdeka dengan mengetengahkan persembahan insiden peristiwa di Lahad Datu, Sabah yang telah berjaya meningkatkan semangat patriotisme dan jati diri rakyat Malaysia.

Sambutan Ambang Merdeka akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya dari 29 hingga 30 Ogos, katanya.

Di samping itu, Jabatan Penerangan turut menganjurkan pertandingan keceriaan Jalur Gemilang.

"Kita juga menganjurkan pertandingan video pendek menggunakan YouTube sebagai saluran. Mereka boleh memuat naik video masing-masing tidak lebih daripada tiga minit dalam YouTube dan kemudiannya kita akan ambil video tersebut ke dalam satu saluran YouTube yang dikhususkan untuk pertandingan ini.

Selain itu, pertandingan foto kenegaraan dengan menggunakan kamera refleks lensa tunggal digital (DSLR) atau kamera telefon bimbit turut diadakan bertujuan menterjemahkan semangat kenegaraan dan jati diri dalam bentuk visual, katanya. - Bernama