• Munirah (kiri) menerima replika hadiah kempen AmBank Prosperity Bonanza di Kuantan, semalam. Munirah (kiri) menerima replika hadiah kempen AmBank Prosperity Bonanza di Kuantan, semalam.
1 /

KUANTAN - “Saya rasa macam mimpi dan tidak percaya bila terima panggilan memaklumkan saya menang RM18,888 hanya selepas berjaya menjawab dua soalan berkaitan AmBank Malaysia Berhad pada April lalu,”.

Demikian kata pemenang Kempen AmBank Prosperity Bonanza, Munirah Nazri, 30.

Munirah berkata, selepas disahkan pegawai bank berkenaan bulan lalu, dia seolah-olah tidak percaya dengan rezeki yang diperoleh.

Pekerja swasta ini yang mempunyai dua akaun simpanan dengan AmBank berkata, dia bersyukur dengan kemenangan yang tidak pernah diimpikan ini terutama apabila sebelum ini kurang memberi perhatian sebarang peraduan dan pertandingan dianjurkan mana-mana pihak.

“Buat masa ini, saya akan simpan hadiah ini dan menambah simpanan yang sedia ada untuk digunakan pada masa akan datang apabila keadaan memerlukan.

“Hadiah yang dimenangi ini begitu bermakna buat saya, jadi lebih baik saya simpan,” katanya yang tinggal di kawasan perumahan Batu Tiga, di sini.  

Dia berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kempen berkenaan yang dilakukan Pengurus AmBank Daerah Negeri, Shiah Lee Lee di pejabat AmBank, di sini, semalam.

Munirah berkata, selepas lima tahun berurusan dengan AmBank dia tidak pernah menyangka habuan lumayan diterima sekelip mata, kemenangan itu akan menjadi sejarah manis yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Keluarga saya juga menyimpan di AmBank dan kami selesa berurusan dengan agensi kewangan berkenaan,” katanya yang bertugas dengan syarikat swasta di sini.

Sementara itu, Shiah berkata, seramai 14 pemenang seluruh negara menerima hadiah masing-masing, seorang pemenang akan menerima hadiah utama sebanyak RM388,888.

“Setiap tahun pelbagai kempen dianjurkan pihak AmBank terutama pada musim perayaan sebagai menghargai kesetiaan pelanggan yang berurusan dengan kami di seluruh negara.

“Sebagai bukti kempen AmBank Prosperity Bonanza yang dianjurkan, semua penyimpan layak terpilih memenangi hadiah yang ditawarkan, dengan hanya menjawab beberapa soalan mereka berpeluang menerima imbuhan,” katanya.