JOHOR BAHRU - Persidangan Dun Belia Johor bakal dijayakan bermula tahun depan bagi memberi ruang kepada anak muda negeri ini mengasah bakat di dalam Dewan Negeri Johor.

Speaker Dun Johor, Suhaizan Kayat berkata, umur bagi setiap penyertaan menjadi ahli-ahli Dun Belia Johor adalah antara 18 hingga 30 tahun.

"Kita beri ruang kepada anak muda asah bakat mereka serta biasakan mereka dengan Dun.

"Membiasakan diri menjadi pemimpin supaya mereka ada pengalaman untuk menjadi pemimpin suatu masa akan datang.

"Kita akan buka tawaran kepada sesiapa berminat. Kemudian daripada senarai itu, kita pilih mana yang bersesuaian," katanya pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Media Bersama Speaker Dewan Negeri Johor, semalam.

Suhaizan berkata, Pejabat Speaker Dewan Negeri Johor juga akan menetapkan kriteria-kriteria tertentu kepada beliau yang berminat, sebelum dipilih dan dipanggil untuk hadir perbahasan

Katanya, jika Dun Belia Johor mendapat sambutan dengan penyertaan yang ramai, ia berkemungkinan akan dilaksanakan dengan lebih banyak kumpulan.

"Terbuka kepada semua rakyat Johor, bukan parti. Dan kita buka itu pun, pendaftaran melalui internet. Suruh mereka daftar, ada borang yang perlu diisi.

"Kemudian kita akan melihat mana yang bersesuaian untuk kita ajak mereka, jemput mereka untuk hadir dalam persidangan itu.

"Inisiatif daripada Pejabat Speaker. Jumlah saya belum tentukan lagi, tapi saya rasa mungkin lebih. Saya tengok respon dulu macam mana. Kalau respon itu agak ramai, jadi kita buka untuk ramai," katanya.

Beliau berkata, ruang tersebut diberikan untuk Dun Belia Johor berdebat dan berbahaskan isu-isu belia secara umum sebagai contoh basikal lajak dan rempit.

"Sebab mereka ini lebih memahami tentang masalah belia. Dalam Dewan (Negeri Johor) kita (wakil rakyat) bahas terlalu banyak, tapi mereka ini kumpulan yang fokus kepada belia.

"Jadi, mereka nampak bagaimana nak membantu kerajaan khususnya dalam isu-isu berkaitan dengan belia. Perbahasan itu berdasarkan topik. Kita bagi topik kemudian mereka bahas," katanya.