IPOH - Sepasang suami isteri masing-masing dihukum penjara 15 bulan dan denda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini setelah mengaku bersalah atas 28 pertuduhan mempergunakan 19 kanak-kanak dan remaja bagi tujuan mengemis di lima lokasi seluruh negara, dua tahun lalu.

Hakim Murtazadi Amran turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Muslim Ab Karim, 67 dan Zaleha Mohamad, 55, itu dijalankan serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 7 Mei 2017.

Namun, kedua-dua tertuduh akan dikenakan penjara 28 bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Beliau turut mengarahkan Muslim dan isterinya menjalani program khidmat masyarakat selama 100 jam di kawasan kediaman mereka yang dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik sahaja tamat menjalani hukuman penjara.   

Kedua-dua tertuduh didakwa telah menyebabkan 19 kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 17 tahun untuk menerima sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel dan kalendar.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sekitar kawasan Pusat Perdagangan Greentown, Ipoh; Jalan Panggung Wayang, Taiping; Medan Saujana, Kamunting; Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, dan Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang.                                                                                                                                                                                                                                          Semua kesalahan itu dilakukan antara jam 8.30 malam hingga 1.45 pagi pada 7 dan 8 Oktober 2016, 9 November 2016 serta 13 dan 14 Mac 2017.

Terdahulu, Murtazadi turut memerintah wang kutipan berjumlah RM4,751.80 dan Rp1 juta dilucutkan hak kepada kerajaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala, pasangan itu diwakili peguam Zamri Idrus.