BATANG KALI - Beramal sambil berkonvoi motosikal menepati cita rasa golongan muda apabila 210 belia menyertai aktiviti tersebut yang bertujuan menyampaikan sumbangan kepada 500 penduduk kurang berkemampuan.

Pengerusi Kelab Bell Belia Tamil Hulu Selangor, A Oghanesh berkata, konvoi motosikal sebati dengan jiwa golongan muda dan pendekatan sedemikian dilaksanakan sebagai usaha memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan belia.

"Berkonvoi dalam program sebegini mengutamakan aspek keselamatan dan disiplin kerana ada marshall serta polis yang mengawal.

"Pada masa sama, sikap keprihatian yang diterapkan akan mendorong mereka  sentiasa peka dengan nasib masyarakat sekeliling dan sesiapa sahaja yang ditemui ketika berkonvoi," katanya pada majlis perasmian konvoi tersebut.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M Saravanan dan pelepasan konvoi dilakukan Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bersempena program Jelajah Sehati Sejiwa.

Oghanesh berkata, peserta konvoi yang turut disertai belia Melayu dan Cina itu singgah di 10 perhentian bagi menyerahkan sumbangan kepada 50 penduduk berupaya barang keperluan harian di setiap hentian.