PUTRAJAYA - Selang dua hari sambutan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 12 Julai 2018, rakyat Malaysia sambung meraikan 'birthday' buah hatinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dr Siti Hasmah dalam video berdurasi 1.30 minit yang dipaparkan melalui Facebook Dr Mahathir Mohamad manis mengenakan baju kurung warna hijau kelihatan sibuk membaca kad ucapan hari lahir yang dikirim oleh rakyat, memotong kek dan menyantuni tetamu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat hari lahir untuknya.

"Saya terima banyak ucapan selamat ulang tahun kelahiran, bukan sahaja melalui kad tetapi juga melalui media sosial yang betalu-talu mengucapkan hari jadi yang 'ke-29 tahun'.

"Mereka mendoakan saya berusia panjang, sihat, murah rezeki dan sebagainya, terima kasih banyak," katanya dengan reaksi ceria dan gembira.

Rakaman video itu menunjukkan sambutan ulang tahun kelahiran wanita pertama Malaysia itu bersama kakitangan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Hari ini, Dr Siti Hasmah menginjak usia 92 tahun manakala, suaminya, Dr Mahathir, 93 tahun pada 10 Julai lalu.