BERA - Tiga peniaga dikenakan tindakan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga pada barang kawalan yang dijual sejak Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 dilancarkan 10 Februari lalu.

Ketua Cawangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bera, Mohd Rashad Muhammad Zain berkata, semua anggota penguat kuasa menjalankan pemantauan di seluruh pasar raya dan kedai runcit di daerah ini, bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang skim ini berlangsung.

Menurutnya, selama 12 hari skim berlangsung, KPDNKK Bera mahu memastikan peniaga tidak menjual barangan melebihi harga maksimum, malah mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Sepanjang skim ini berlangsung, peniaga mesti mematuhi harga maksimum yang ditentukan bagi setiap 12 jenis barangan terpilih, bagi mengelak sebarang tindakan yang dikenakan.

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, ada juga peniaga yang menjual barangan kawalan pada harga lebih rendah dari yang ditetapkan. Ini tidak salah kerana bergantung kepada peniaga untuk menarik pelanggan mereka,” katanya selepas melakukan pemantauan di Pasaraya Agro, di sini, hari ini.

Eksekutif Pasaraya Agro, Rashitah Mat Rashid mendengar taklimat ringkas daripada Mohd Rashad berkaitan hal mempamerkan harga kawalan yang perlu diletakkan dibandingkan dengan harga yang ditawarkan pasar raya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rashad berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 13 Februari tahun ini, pihaknya telah mengendalikan 28 kes dan menerima enam aduan berhubungan pelbagai masalah berkaitan peniaga seperti tidak mempamerkan tanda harga dan penggunaan penimbang yang tidak disahkan.

Katanya, daripada jumlah kes dan aduan itu, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit dengan jumlah kompaun sebanyak RM3,200 dan jumlah rampasan bernilai RM6,460.

Berbanding dengan tahun lepas, sebanyak 80 kes dan 32 aduan yang diterima KPDNKK Bera daripada pengguna.

Daripada jumlah kes itu, jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM11,250 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM23,534.50.

“Kita dapati, aduan pengguna meningkat dari tahun ke tahun menunjukkan pengguna khususnya masyarakat Bera sudah tahu hak mereka sebagai pengguna. Mereka sudah tahu menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan.

“Sebelum ini, pengguna tidak tahu saluran yang betul malah kerap ‘mengadu’ di laman sosial. Sekarang, apabila berhadapan dengan peniaga yang tidak mematuhi peraturan, mereka mengadu kepada KPDNKK, sekali gus memudahkan pihak kami bertindak agresif,” katanya.