IPOH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyatakan kesediaan untuk membantu menjayakan setiap program yang dirancang persatuan media di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid berkata, kesediaan itu sebagai kesinambungan kerjasama erat yang terjalin antara TNB dengan agensi media dalam penerbitan laporan berita sebelum ini.

"Selama ini media telah memberikan kerjasama yang baik dalam membantu TNB menyampaikan maklumat dan menangani apa juga isu  berkaitan jabatan ini.

"Atas dasar itu, kita terbuka memberikan sokongan kepada agensi media Perak sama ada dari segi peruntukan dana atau tajaan barangan," katanya pada majlis Berbuka Puasa TNB bersama Media Perak, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun ini.

Hadir sama, Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.

Antara program terdekat yang dirancang selepas Syawal bersama media Perak adalah pertandingan boling.