PUTRAJAYA- Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak boleh terus menerbitkan sebarang kenyataan dan klip video yang memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini susulan Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak rayuan Tony untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Najib yang melarang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video memfitnahnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 21 April tahun lalu, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Tony Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan dalam 'live video' berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Perdana Menteri diwakili barisan peguam diketuai oleh Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Gobind Singh Deo bertindak bagi pihak Tony Pua

Setiausaha Publisiti DAP itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos tahun lalu yang mengeluarkan perintah injunksi sementara sebelah pihak yang menghalang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnah Najib.

Najib memfailkan permohonan injunksi itu bagi menghalang Tony Pua yang didakwa memfinahnya menerusi kenyataan pada 6 April tahun lalu berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, yang juga dimuat naik dalam Facebook rasminya, ‘Tony Pua’.

Najib memohon perintah injunksi sebelah pihak berasaskan kebimbangan peribadinya dan betapa seriusnya kenyataan memfitnah itu yang boleh menjejaskan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan serta pemimpin sebuah parti politik.