KUANTAN - Seorang tukang cat dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghasilkan wang palsu dan memiliki kad pengenalan serta lesen palsu, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Ridzuan Cheong Abdullah, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali terhadap dua pertuduhan didakwa ke atasnya.

Muhammad Ridzuan Cheong didakwa memiliki pelbagai peralatan untuk menghasilkan wang palsu, termasuk 42 keping not RM50 palsu dan enam keping not RM100 palsu di sebuah rumah di Taman Alor Akar di sini, kira-kira jam 3.45 petang, 5 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Muhammad Ridzuan Cheong turut didakwa di bawah Peraturan 25(1) (c) Peraturan Peraturan Jabatan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki kad pengenalan dan lesen memandu palsu sebagai pengenalan diri beliau di lokasi, masa dan tarikh sama.

Peraturan tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua kes dan menetapkan kes itu disebut semula pada 14 November ini.

Terdahulu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar.