ALOR SETAR - Setiap umat Islam diminta untuk menerap dan meneroka khazanah al-Quran supaya menjadi inspirasi untuk sama-sama membina peradaban yang lebih baik demi kesejahteraan ummah sejagat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah demikian ketika berangkat ke majlis penutupan dan penyampaian hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri, di sini, hari ini.

Baginda menggesa umat Islam menghayati dan menerapkan ilmu  di samping meneroka khazanah al-Quran supaya menjadi petunjuk untuk sama-sama membina peradaban yang lebih baik demi kesejahteraan ummah sejagat.

“Al-Quran ini penuh dengan keindahan dan kehebatan jadi diharapkan masyarakat Islam di Kedah dapat menghayati intipati yang tersirat di dalam Kitab suci al-Quran supaya ia menjadi penawar hati dan tidak mudah goyah,” titah baginda.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Sultan Sallehuddin menyampaikan hadiah kepada juara qari dan qariah peringkat negeri.

Hadir sama Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang.

Pada majlis itu, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Thufail Sayuti dan guru hafazan dan al-Quran Sekolah Rendah Integrasi Thafiz Khalifah Teras Jernang, Selangor, Nor ‘Afifah Abd Rahman diumumkan sebagai Juara Qari dan Qariah peringkat negeri.

Muhammad Thufail dan Nor ‘Afifah, 25, membawa pulang hadiah antaranya piala pusingan, RM7,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan dan akan mewakili Kedah ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1 hingga 7 April ini.

Pertandingan Menghafaz al-Quran bagi kategori juzuk 1-30 dan Tafsir pula masing-masing dimenangi oleh Muhammad Khalil Mohd Fadzil dari Maahad Tahfiz Al-Farabi, Sik dan Siti Aisyah Humaira’ Syahrul Apandi dari Madrasah Darul Islah Lil Banat, Guar Cempedak.

Bagi kategori juzuk 1-20 pula, pemenangnya ialah Mohd Rayyan Abdullah (Kolej Universiti Islam Selangor) dan Siti Aisyah Zolkifli (Pusat Tahfiz dan Pengajian Islam Saiyadatina Aisyah, Sungai Petani).

Dalam kategori juzuk 1-10 dan Tarannum menjadi milik Muhammad Haziq Aidee Rosilan (Maahad Tahfiz Lorong Alif) dan Robiatun Adawiyah Zolkifli (Pusat Tahfiz dan Pengajian Islam Saiyadatina Aisyah, Sungai Petani).