PONTIAN - Umno Bahagian Tanjung Piai akan memperluaskan program Bank Makanan iaitu bantuan kepada keluarga miskin ke Permas, Kukup selepas kejayaan program berkenaan di Pekan Nanas dan Kampung Rimba Terjun sebelum ini.

Naib Ketuanya, Dr Isa Ismail berkata, program dilaksanakan sejak Jun lalu itu terus digerakkan dengan sokongan ahli dan sumbangan yang diterima dari orang perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, dana asal sebanyak RM10,000 telah dimanfaatkan bagi pelaksanaan program yang sehingga kini, seramai lebih 150 orang menerima bekalan makanan secara bulanan.

“Sebagai ahli parti di peringkat akar umbi, sewajarnya kita meneruskan usaha membantu golongan kurang berkemampuan sebagaimana dilakukan parti sebelum ini.

“Walaupun parti kini merupakan pembangkang, namun kita tidak pernah lupa turun padang berikan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengira latar politik.

“Bank Makanan ini juga diharap memupuk semangat bantu membantu dan infak dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Bank Makanan di Pekan Nanas dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima.

Hadir sama Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Syarulzaman Ibrahim dan Ketua Puteri Umno Bahagian Tanjung Piai, Norazmeen Ahmad.

Sementera itu, Kamariah Idris, 53, bersyukur atas sumbangan makanan yang diterimanya setiap bulan menerusi program Bank Makanan.

Kamariah yang cacat kaki kanan sejak lahir kini dijaga oleh adiknya Yusri, 40, yang bekerja di kilang berdekatan rumah mereka di Kampung Batu 26 Pekan Nanas.

“Beras, gula, tepung dan minyak masak yang diterima cukup besar maknanya buat saya,” katanya.