• Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan (dua, kanan) merasmikan Karnival Oh Yeah! Bank Muamalat, diperhatikan Musa dan CEO BMMB Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan (dua, kanan) merasmikan Karnival Oh Yeah! Bank Muamalat, diperhatikan Musa dan CEO BMMB Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
1 /

BANK Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menyasarkan 50,000 hingga 100,000 pemegang akaun baru menerusi kempen Oh Yeah! Bank Muamalat yang berlangsung sejak April lalu sehingga Mac 2014.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Musa Abdul Malek berkata, setakat ini, BMMB mempunyai 700,000 pemegang akaun individu sedia ada secara keseluruhan.

"Menerusi kempen ini, kami sasar capai tambahan deposit akaun simpanan RM1 bilion," katanya selepas merasmikan Karnival Oh Yeah! Bank Muamalat di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, karnival pertama ini dianjurkan sempena pelancaran kempen deposit akaun simpanan Oh Yeah! yang juga kesinambungan kepada kempen-kempen deposit lain yang diperkenalkan sebelum ini.

Katanya, selepas ini, BMMB bakal adakan karnival di seluruh negara iaitu di Kota Bahru, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Melaka, Seremban dan Pulau Pinang.  

Musa berkata, dengan adanya karnival sebegitu dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelanggan sedia ada dan pemegang akaun baru.

Beliau berkata, kempen itu boleh disertai oleh pelanggan sedia ada dan pemegang akaun baru Oh Yeah! dengan deposit minimum RM1,000 untuk berpeluang memenangi hadiah  bernilai RM4.8 juta.

Kempen itu juga menawarkan hadiah utama RM1 juta bersama hadiah lain seperti Honda CRZ, Honda CRV, Proton Preve dan telefon pintar.

BMMB turut menjangkakan kunjungan 10,000 pengunjung akan membanjiri Stadium Shah Alam yang berlangsung selama dua hari bermula semalam sehingga 10 malam ini.