Laman web rasmi untuk kempen Jom Kita Daftar Undi kini sudah mula beroperasi. Mereka yang mendaftar sebagai pengundi baru sepanjang kempen Jom Kita Daftar Undi boleh mendaftar penyertaan mereka secara dalam talian bagi melayakkan mereka memenangi tiket penerbangan ke pelbagai destinasi antarabangsa.
 
Para pendaftar baru hanya perlu mengikuti beberapa langkah mudah untuk menyertai peraduan ini. Mereka hanya perlu mendaftar sebagai pengundi baru di lokasi jelajah Jom Kita Daftar Undi, pejabat pos atau ejen pendaftar SPR bagi mendapatkan slip pengesahan pendaftar baru. Seterusnya, mereka perlu melayari laman web Jom Kita Daftar Undi dan mengisi borang penyertaan secara dalam talian.
 
Kempen Jom Kita Daftar Undi dilancarkan pada 3 Mac lalu bersempena Karnival Karangkraf 2017. Ianya ini merupakan antara inisiatif SPR untuk menggalakkan pendaftaran pengundi baru yang turut mendapat sokongan AirAsia selaku penaja tiket penerbangan manakala Sinar Harian dan Astro berperanan sebagai rakan media.
 
Sebanyak 1,100 tiket penerbangan ditawarkan termasuk Australia, Jepun dan Hong Kong. Hadiah utama pula merupakan 10 tiket penerbangan ke Honolulu, Hawaii. Maklumat lanjut kempen Jom Kita Daftar Undi boleh dilayari di laman web www.jomkitadaftarundi.my.