Dalam zaman ekonomi tengah gawat ni jalan terbaik nak jimat kalau nak jalan-jalan kat KL adalah naik kenderaan awam. Mungkin tak relevan dengan orang berkeluarga tapi kalau keluarga kecil tu boleh juga berjimat. Baru-baru ini saya perlu ke Kuala Lumpur seawal pagi dari Shah Alam. Nak bawak kereta fikir punya fikir tak sanggup nak hadap jem, tak tahu nak parking kat mana dan sebagainya, akhirnya ambil keputusan naik komuter dengan LRT sajalah.

Bangun seawal pagi buat apa yang wajib dan bersiap semua, bergerak ke stesen komuter Batu Tiga kira-kira jam 7.05 pagi. Boleh beli tiket secara tunai tapi kalau nak lagi jimat silalah gunakan kad Touch & Go kerana harganya lebih murah daripada anda beli tiket secara tunai. Tak lama pun tunggu train, dalam 10 minit rasanya sebab saya dah terlepas train yang sebelumnya sebaik tiba di stesen tersebut.

Biasalah pagi-pagi orang agak ramai semuanya nak pergi kerja mencari rezeki. Walaupun agak ramai tapi masih terkawal dengan aircond yang sejuk, jadi saya fikir kalau orang ramai sangat pun masih boleh bernafas dan tak panaslah. Saya berhenti di Stesen Subang Jaya, hanya satu stesen sahaja daripada Batu Tiga kerana perlu menukar train LRT untuk ke Masjid Jamek.

Nak ke Kuala Lumpur saya perlu membeli tiket laluan Kelana Jaya kerana train yang saya naik tu hanya melalui laluan tersebut. Jangan keliru pula ya sampai tersilap beli tiket. Sebelum beli tengok betul-betul laluan mana yang kita nak naik supaya tak timbul masalah dalam perjalanan atau sebelum memulakan perjalanan.

Memang dah lama sangat tak naik kenderaan awam terutama komuter dan LRT. Apa yang buat saya kagum, orang Malaysia kini dah banyak berubah. Nak masuk LRT semua beratur macam kat negara-negara maju, kalau ada yang kekurangan upaya masuk, ramai yang memberi laluan dan tempat duduk kepada yang lebih memerlukan. Bangga juga bila tengok orang Malaysia dah berubah. Ye lah negara kita pun dah makin maju, penduduknya juga perlulah berubah mengikut peredaran masa juga.

Waktu pagi dalam LRT memang sesak, laluan Kelana Jaya bermula dari stesen Putra Heights, sampai dekat Subang Jaya memang dah hampir penuh, pendek kata berdirilah sampai ke Masjid Jamek. Kagum dengan orang-orang yang berulang ke tempat kerja di KL setiap hari dengan keadaan yang macam tu. Tapi itulah lumrah kehidupan di Kota, pilihan ada ditangan kita, kalau nak jimat gunakanlah kenderaan awam yang telah di upgrade untuk memenuhi keperluan penghuni kota. Tapi kalau mampu boleh sahaja bawa kereta sendiri. Tak salah pun sebab kita pakai duit kita sendiri kan?

Satu lagi kebaikan kenderaan awam ni kebanyakkannya dekat dengan tarikan-tarikan utama di sekitar ibu kota. Dah alang-alang ke Masjid Jamek, sempat jugalah berjalan-jalan sambil cuci mata tengok baju dan tudung. Harga kat sana pun kan lebih murah, memang seronok lah. Dah penat jalan dah shopping apa yang patut kaki pun dah penat jalan, baliklah ke pangkal jalan dengan Komuter dari stesen Bank Negara terus sahaja ke Batu Tiga. Memang mudah, tak penat nak drive, tak stress dalam jem, tak payah fikir cari parking dan paling penting jimat!