• Abu Bakar Abdullah Abu Bakar Abdullah
1 /

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menganggap isu penghinaan terhadap agama Islam adalah serius dan pihak yang menghina Islam perlu diambil tindakan tegas.

Menurutnya, agama Islam sebagai agama rasmi sudah tentu perlu dilindungi dan sebarang perkara yang cuba menghina agama tersebut perlu diambil tindakan tegas oleh pihak bertanggungjawab.

Abu Bakar berkata, usaha pihak tertentu menghina Islam sudah lama berlaku dan berterusan sehingga sekarang dan tindakan perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak terbabit supaya tidak berulang pada masa depan.

“Penghinaan ini perlu diambil iktibar oleh pihak bertanggungjawab supaya agama lain benar-benar ambil sikap menghormati kepelbagaian agama, apatah lagi Islam agama Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai merujuk kepada pasangan yang menghina Ramadan, Alvin Tan dan Vivian Lee yang hangat diperkatakan selepas gambar mereka menghina umat Islam tersebar di internet beberapa hari lalu.

Abu Bakar berkata, sekalipun mereka cuba ‘berlawak’, individu terbabit sepatutnya sedar kesan yang timbul dengan tidak bersandarkan kepada fikiran semata-mata, dengan melakukan tindakan yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

Apa yang jelas katanya, penghinaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ini bukan kali pertama masyarakat Islam di Malaysia menyambut bulan puasa.

“Apa yang dilakukan, dia perlu bertanggungjawab dan sepatutnya kena kekallah keharmonian, apatah lagi kita tidak hina amalan agama mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut sependapat dengan beberapa mufti berhubung permohonan maaf dibuat pasangan berkenaan selepas mendapat kecaman hebat daripada penganut pelbagai agama di negara ini.

Jelasnya, tindakan yang dikenakan tidak cukup dengan melakukan permohonan maaf, sebaliknya perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Pihak berkenaan kena soal siasat apakah perkara ini berlaku dalam keadaan dia jahil. Kalau diikutkan amalan berpuasa dalam kalangan umat Islam sudah lama berlaku di negara ini dan tidak munasabah mereka tidak tahu,” katanya.