Menyuai padankan rona dalam sesuatu perkara bukan lah mudah. Ia termasuklah untuk tujuan penataan gaya mahupun dekorasi kediaman. Setiap padanan pula membawa maksud yang tertentu.

1. Pilihan rona sesuai untuk laman
a) Warna semula jadi
Antara rona yang dikategorikan sebagai warna semula jadi adalah hitam, putih, kelabu, perak dan coklat. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan bagi tujuan memilih rona untuk laman, warna hijau turut dikategorikan sebagai rona semula jadi. Jika rona cerah dan terang digabungkan bersama dengan warna semula jadi ini, ia berupaya menyeimbangi keseluruhan pemandangan yang dicipta. Selain itu juga, gunakan rona-rona semula jadi sebagai pemisah antara elemen yang mempunyai nada yang hampir sama.

b) Warna monokromatik
Untuk menyerlahkan nilai-nilai arkitektural yang terdapat di laman anda seperti fasad, arca dan sebagainya, pemilihan rona monokromatik adalah yang bernas. Pemilihan rona dari jenis yang sama namun pada nada yang berbeza berupaya menyerlahkan perincian dan tekstur yang cuba ditampilkan di laman. Namun pemilihan rona nya harus lah dari warna yang tidak cerah dan lembut agar tidak mengganggu mata untuk menghayati setiap perincian senibina yang cuba ditampilkan.


c) Warna harmoni
Pemilihan warna harmoni adalah dari rona bersebelahan yang terdapat pada roda warna seperti jingga + merah, ungu + biru dan kuning + hijau berupaya mewujudkan sebuah kombinasi yang harmoni antara satu sama lain. Ini disebabkan oleh setiap satunya mempunyai persamaan pigmen yang sama. Gabungan warna dari rona-rona tersebut berupaya mewujudkan sebuah dekorasi laman elegan dan menenangkan.

d) Warna complementary
Bagi mereka yang gemarkan rona-rona ceria, pemilihan pada roda warna perlu dibuat secara bertentangan seperti merah + hijau, kuning + unggu, jingga + biru. Pemilihan dari rona-rona ini berupaya menyerlahkan laman terutamanya bagi yang berhasrat ingin mewujudkan titik tumpu. Oleh sebab itu, pemilihan complementary kerap digunakan untuk tujuan pengiklanan kerana ia ingin menarik perhatian umum.

2. Pemilihan warna mengikut impak visual
a) Laman luas
Walaupun laman bersaiz kompak, pemilihan rona sejuk seperti biru, ungu, perak, hijau dan sebagainya berupaya memberi impak visual yang lebih luas. Penerapan rona bukan sekadar pada pemilihan bunga, ia perlu pada keseluruhan rekaan laman termasuklah ornamen, dinding latar, pagar dan sebagainya.

b) Laman kompak
Pemilihan rona terang dan menyerlah seperti kuning, oren, merah dan sebagainya hanya sesuai untuk laman berskala besar. Rona-rona yang dikategorikan sebagai warna panas ini bukan sekadar memberi perincian dan kekemasan dalam setiap rekaan malah berupaya mewujudkan suasana yang mempunyai aura atau tenaga menceriakan.


3. Kadar gabungan warna
Untuk laman berskala kecil, cukup sekadar gabungan tiga hingga empat jenis pilihan warna agar laman yang direka tidak kelihatan serabut. Manakala untuk laman yang luas, lebih dari lima pilihan warna perlu digunakan. Namun harus di ingat, jangan keterlaluan kerana jika ia berlaku laman akan tampil tidak kemas.

4. Warna bertepatan dengan konsep
a) Tropika
Konsep tropika diperkaya dengan pelbagai tumbuhan foliar yang mempunyai rona dan tekstur yang berbeza. Untuk mengilhamkan sebuah laman gaya tropika, pemilihan rona panas seperti kuning, oren dan merah amat bertepatan dengan konsep yang cuba diterapkan. Walaupun penerapan warna panas hanya terdapat pada perabot mahupun dinding latar, gabungan beberapa tumbuhan foliar berdaun lebar dan bertekstur berupaya membangkitkan rekaan tropika yang diidamkan.

b) Inggeris
Untuk taman yang berkonsepkan Inggeris, paduan pelbagai rona menjadi fokus dan dibahagikan kepada dua tatapan konsep. Bagi yang menampilkan laman kelihatan lebih santai dan menenangkan, pemilihan warna pastel harus menjadi pilihan seperti Krim, Jade green, Lavender dan sebagainya. Manakala bagi yang memilih laman Inggeris yang ceria, warna-warna terang seperti merah, oren, kuning dan sebagainya perlu diterapkan. namun harus di ingat, gabungan dan pilihan warna tidak perlu banyak seperti yang telah dibincangkan untuk mengurangkan kesesakan visual pandangan.

c) Moroccan
Bagi negara Timur Tengah yang beriklim panas dengan latar padang pasir, penataan landskapnya perlu hadir menjadi sebuah oasis yang subur. Landskap yang dicipta juga harus tampil mewah dan mempesonakan. Oleh itu, untuk mencerminkan sebuah kawasan yang subur di padang pasir pemilihan warna biru terang kerap menjadi pilihan kerana ia mewakili elemen air di samping menjadikan persekitarannya lebih nyaman.
Terkini, kuning juga menjadi pilihan taman-taman moroccan untuk ilham yang lebih ceria. Warna bukan sekadar di terapkan pada fasad bangunan semata-mata malah pada pasu dan ornamen-ornamen yang hadir pada persekitarannya. Permainan rona pada tumbuhan amat minima kerana taman moroccan lebih menampilkan elemen kehijauan untuk tampil lebih subur.

d) Moden dan kontemporari
Ringkas dan elegan adalah penerapan terhadap laman berkonsepkan moden dan kontemporari. Taman moden lebih sinonim dengan pengguna rona-rona semula jadi iaitu putih, hijau, coklat dan hitam. Rona hijau di aplikasikan kepada pemilihan tumbuhan yang mempunyai pelbagai tekstur. Namun tidak salah penggunaan rona-rona terang seperti merah untuk menonjolkan salah satu elemen yang terdapat di laman moden anda kerana adakalanya ia berfungsi sebagai titik tumpu.

5. Di tahap perancangan dalam menentukan pemilihan warna perlu di ingat, salah satu prinsip reka bentuk iaitu pengulangan perlu diaplikasikan. Gunakan warna yang telah dipilih untuk ruangan lain agar reka bentuk laman yang dihasilkan tampil lebih kemas dan tersusun.


6. Tetapkan satu atau tiga pilihan warna yang bakal mendominasi keseluruhan rekaan anda. Ia bertujuan mengatasi masalah percanggahan warna antara elemen yang berdekatan untuk mengelakkan rekaan yang dizahirkan tampil tidak menarik hanya disebabkan pemilihan warna yang salah.

7. Harus juga di ingat, setiap kali rombakan pada laman di lakukan setiap elemen atau tanaman yang di tambah harus menepati dan berpegang teguh kepada konsep warna sedia ada. Ia bertujuan untuk memastikan sesuatu elemen baru yang hadir di laman anda perlu menyatu antara satu sama lain.

8. Untuk ruang yang mempunyai penataan cahaya yang kurang dan sempit, pilihan rona-rona pastel paling sesuai. Ia berupaya memberi visual pencahayaan secara tidak langsung.

9. Jika warna-warna gelap menjadi pilihan seperti hitam. Kajian lebih mendalam perlu di lakukan untuk menentukan padanan warna yang bersesuaian. Kerana jika warna gelap mendominasi laman anda ia akan mengundang sebuah laman yang kelihatan kusam. Oleh itu, sebagai padanan, hadirkan warna-warna yang berupaya menyeimbangi keseluruhan rekaan seperti putih. Atau sebagai pilihan, peletakan lampu berupaya menghidupkan ruang tersebut.

10. Jika anda mempunyai elemen seperti dinding berona biru, padanan sempurna untuk melembutkan nya adalah tumbuhan yang berdaun hijau terang atau silvery foliage. Selain itu juga, padanan sempurna untuk rona biru adalah putih, kuning dan jingga. Elakkan rona biru digabungkan bersama ungu dan hijau pekat kerana ia bakal menenggelamkan warna tersebut.

11. Merah pula berupaya menarik perhatian jika ia hadir secara tiba-tiba (juxtaposition) di laman anda. Di samping itu juga ia antara pilihan warna terbaik untuk tujuan titik tumpu. Manakala padanan terbaik untuk merah adalah biru dan warna perak.

12. Warna kuning berfungsi memberi pencahayaan secara tidak langsung. Kebiasaannya ia sesuai untuk laman bertemakan morrocan dan tropika kerana ia merupakan dari golongan warn-warna panas. Padanan yang sesuai untuk menyeimbangi warna kuning adalah putih, hijau dan biru.

13. Elakkan penggunaan rona hijau sebagai elemen di laman anda. Cukup sekadar kehadiran tumbuhan berdaun dengan pelbagai tekstur. Jika ia di aplikasikan sebagai feature wall atau titik tumpu anda, laman akan tampil membosankan.