Sebaik sahaja membaca tajuk artikel ini, mungkin ada di antara anda yang tidak senang duduk. Apatah lagi senarai model yang dinyatakan merupakan model mewah.

 

Bagaimanapun, laporan berkenaan berlaku di United Kingdom (UK). Maka pemilik Porsche tempatan boleh bertenang.

 

Pihak MyCarCheck.com menyenaraikan lima kereta paling berisiko tinggi dicuri pada 2016.

 

Senarai itu diungguli oleh Porsche 911 Carrera 4S dengan peratusan yang agak tinggi di mana enam model didaftar, satu darinya berisiko dicuri.

 

Tangga kedua diduduki oleh Mercedes-Benz CLC 220 Cdi Sport Auto. Dengan nisbah 11 pendaftaran satu darinya akan menerima amaran kecurian. Ia diikuti oleh Range Rover Evoque Dynamics D4A, Honda Jazz SE CVT dan Ford Fiesta Zetec.

 

 

Ketua MyCarCheck.com, Roger Powell berkata, adalah tidak mengejutkan apabila model-model berprestij menduduki carta teratas kerana kereta tersebut punya permintaan di pasaran kereta terpakai dan menjadi sasaran pencuri kerana potensi keuntungan.

 

“Bahkan, model terlaris UK, Ford Fiesta berada dalam senarai kelima Fiesta. Ini menunjukkan apa sahaja kereta yang bernilai untuk dijual, ada potensi dicuri.

 

 

"Walaupun risiko untuk anda terbeli kereta curi adalah rendah, adalah penting untuk pengguna berjaga-jaga.

 

Kerana itulah penjual kenderaan menggunakan cek asal kenderaan dan kami menggesa semua pengguna untuk melakukan perkara yang sama," jelasnya.

 

Merujuk kepada Kaji Selidik Jenayah British, kecurian kenderaan meningkat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

 

Pada tempoh April 2015 hingga Mac 2016 merekodkan peningkatan 8 peratus dengan jumlah 80,047 unit kereta dicuri.

 

Ini tidak termasuk kereta dicuri saat rumah di pecah masuk atau penipuan aset. Justeru itu, masalah ini dipandang serius oleh pihak negara Eropah itu.

 

Di Malaysia pun sering berlaku kes-kes kecurian kereta ni. Jadi apa-apa pun, di harap anda semua lebih berhati-hati kerana malang tidak berbau.

 

Walau sudah dipersiapkan dengan segala kawalan keselamatan, ia masih tidak mampu untuk memberi jaminan 100 peratus kepada  tahap keselamatan kereta anda.
 

 

Sumber: Sinar Harian