Haram Percaya Horoskop
- 40 hari solat tak diterima
ORANG Islam tidak boleh terpengaruh dengan horoskop walaupun sedikit
pun kerana ia boleh menjejaskan akidah. Malahan, mereka yang membacanya
tidak kira percaya atau tidak adalah sama perbuatannya dengan berjumpa
dengan tukang tilik di mana solat mereka tidak diterima Allah selama
40 hari.
Menurut pensyarah kanan di fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, perkara
itu adalah berdasarkan kepada penyelidikannya ke atas ulasan ulama
Yusuf al- Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang atau horoskop.
“Ada yang berpendapat boleh membaca dan ada yang kata tidak boleh
membaca walaupun sekadar suka-suka. “Ulasan Yusuf al- Qadrawi memberi
maksud bahawa perbuatan membaca walaupun hanya suka-suka sama seperti
pergi menemui tukang tilik atau tukang ramal.
“Jadi, amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa
dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhkan. Nik Salida seterusnya
memberitahu, ramai yang membaca ramalan bintang itu sekadar suka-suka
tetapi perbuatan itu tetap dipandang salah. Ini kerana katanya,
daripada perbuatan suka-suka itulah yang boleh menyebabkan seseorang
itu menjadi takjub seterusnya mempercayai apa yang dibaca oleh mereka.
Nik Salida bagaimanapun memberitahu, membaca dengan tujuan untuk
mempelajari sama ada halal atau haram, membantah, menjelaskan sesuatu
perkara ada perlu dan menjadi wajib untuk tujuan memberi pengajaran
kepada orang lain.
Boleh sebabkan syirik – Dr Zahazan
MEMPERCAYAI ramalan bintang atau horoskop jelas bertentangan dengan
ajaran Islam dan boleh menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah.
Perkara itu disuarakan oleh pensyarah di Pusat Bahasa Al-Quran,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysian (UIAM), Dr Zahazan Mohamed
yang bersetuju bahawa horoskop tidak boleh dibaca walaupun sekadar
untuk bersuka-suka.
“Bintang dijadikan Allah dengan tiga tujuan iaitu menjadi perhiasan
di langit, petunjuk kepada ahli musafir atau pengembara dan untuk
merejam syaitan. “Sekiranya tujuan bintang itu disalah gunakan,
dikhuatiri ia akan membawa kepada perkara-perkara syirik,” kata
Dr Zahazan.
Dr Zahazan juga memberitahu perkara itu sudah dibincangkan sebelum
ini dan sudah dikeluarkan fatwa mengatakan ramalan bintang itu adalah
haram. Namun katanya, perkara itu terus berlaku disebabkan tiada
pemantauan yang dibuat secara bersungguh-sungguh dan kesedaran yang
secara menyeluruh di kalangan penguat kuasa dan para media itu sendiri.
“Jelas di sini, orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan perkara
ini walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah,” tegas
Dr Zahazan.
|