Rancanglah Untuk Berjaya
Kesedaran Pentingnya Sistem Dalam Hidup
 |
Pagi itu Haziq bangun dengan satu perasaan yang baru. Selalunya, terlalu liat untuk dia bangun seawal jam 6.30 pagi pada waktu-waktu cuti begini. Jika tidak sedang lena dibuai mimpi, dia pasti sedang seronok melayari internet selepas solat subuh.
Tetapi hari ini berbeza. Semua ini kerana semangat dan azam baru yang timbul dalam hatinya selepas mengikuti satu program motivasi anjuran Fokus SPM dua hari lepas. Dia ingin merancang dengan lebih teliti demi mencapai kejayaan dalam SPM tahun ini.
Bagaimana pula dengan anda di luar sana? Adakah masih seronok dibuai ombak percutian atau sudah mula memasang strategi untuk berjaya? Maklumlah, bulan satu dalam genggaman, bulan dua menyusul tiba. Takkan masih berangan-rangan untuk mengisi masa cuti ini dengan bersantai dan melepak sahaja.
Mestilah saat ini anda sudah bersedia dengan nota awal ataupun jadual untuk digunakan sepanjang tahun ini.
Untuk merancang kejayaan, kesedaran terhadap pentingnya mempunyai sistem dalam hidup adalah perlu. Ini kerana, sistem yang akan memberikan ‘jalan’ untuk mencapai kejayaan tersebut. Tanpa sistem, perjalanan dalam setiap ‘langkah’ akan pincang. Seakan orang tempang tiada tongkat. Tetapi, apabila sistem dalam hidup diwujudkan. Bukan lagi tempang. Tetapi seperti orang baru mendapat lesen dihadiahkan kereta idaman. Tentu seronok bukan?
Sistem dalam kehidupan yang dimaksudkan di sini adalah berkaitan dengan cara-cara yang digunakan untuk membentuk kejayaan. Antaranya, jadual waktu harian, bulanan dan tahunan, nota, cita-cita, jati diri, teknik, doa ibu bapa, restu guru dan banyak lagi. Kesemua perkara tersebut adalah pelengkap kepada hierarki menuju ke puncak kejayaan.
Bayangkan, jika kesemua sistem itu digaul dan dicampurkan dengan beberapa ramuan pelengkap seperti doa, bacaan surah Yasin dan pelbagai lagi, pasti kejayaan tidak akan terlepas daripada genggaman. Seperti kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Begitu juga dengan mencapai kejayaan. Alang-alang memasang azam untuk berjaya, biar diusahakan hingga termakbul.
Kerana itu sistem dalam hidup sangat penting selain azam sahaja. Ini kerana, azam mudah dipasang, tetapi untuk merealisasikan azam tersebut adalah sangat sukar.
Sebenarnya, semuanya saling berkaitan, antara azam, semangat dan juga sistem. Cuma terletak kepada diri seseorang itu untuk menilai dan menggunakan antara mana yang penting. Tetapi, sudah menjadi lumrah. Manusia akan memasang azam untuk sesuatu yang diinginkan dan semangat akan timbul untuk merealisasikannya.
Tetapi sistem yang menjadi masalah untuk seseorang mencapai apa yang diingini. Kerana itu sistem perlu dirancang dengan teliti dan berpanjangan. Pokok pangkalnya, untuk mencapai kejayaan, usaha adalah perlu. Tanpa usaha, impian hanya angan-angan.
Selanjutnya dalam Fokus SPM keluaran Jan 2010
|