http://www.majalah.iluvislam.com/
Muka Depan
Cantik & sihat
Kerjaya
Kekeluargaan
Kekeluargaan
Promosi

NUR's Facebook Page
 

Perjalanan spiritual
Rumah terbuka…
Budaya orang bisnes, korporat? Pro vs kontra

Satu ketika dulu, istilah rumah terbuka mungkin kurang popular namun zaman ini, istilah tersebut sudah menjadi kebiasaan. Malah boleh dikatakan sudah menjadi budaya masyarakat kita dalam meraikan kemeriahan Syawal terutama di kalangan warga korporat, orang bisnes dan tidak ketinggalan ramai di kalangan kita. Mungkin skil jemputan sahaja berbeza. Kalau dulu, tetamu boleh datang beraya ke rumah bila-bila masa. Tapi sekarang kena buat temu janji dulu atau ada hari-hari tertentu. Ini semua disebabkan tuan rumah sibuk dengan pelbagai urusan dan jemputan. Jadi, rumah terbuka dianggap ruang untuk menjemput kenalan, saudara mara, jiran dan sebagainya. Persoalannya, majlis sebegini sudah tentu ada pro dan kontra dan kita seharusnya tahu bagaimana menjadikan majlis ini lebih diberkati dan mendapat rahmat daripada-Nya. NUR mengupas isu ini.

Berkongsi rezeki matlamat Mona Din

Berbicara mengenai budaya rumah terbuka di kalangan korporat dan usahawan Malaysia, Puan Mona Din turut bersetuju dengan budaya ini kerana ketika inilah masanya untu penggiat industri perniagaan meraikan mereka yang sentiasa berurusan dalam sebuah majlis seperti ini.

“Setakat ini saya telah mengadakan rumah terbuka tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2007 lagi. Bagi saya ini adalah masa yang terbaik untuk bertemu secara tidak formal dengan kenalan bisnes kita termasuk pelanggan yang sentiasa menyokong produk saya, pembekal, pihak bank dan siapa saja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memajukan ketiga-tiga bisnes saya ini.

“Malahan, hari terbuka ini secara tidak langsung juga menunjukkan nilai dan budaya orang Melayu kepada bangsa-bangsa lain dan ini menjelaskan konsep 1 Malaysia yang telah dilaungkan oleh Perdana Menteri kita. “Lagi pula hari-hari lain mungkin kita terlalu sibuk dengan kerjaya jadi apa salahnya di bulan Syawal yang mulia ini, kita merapatkan lagi ukhwah yang sedia ada dengan meraikan mereka yang terbabit sepanjang pembabitan golongan usahawan seperti kami ini,” jelasnya lagi yang tidak menganggap ia sebagai pembaziran kerana ia lebih merupakan perkongsian rezeki yang telah di berikan oleh Allah kepadanya.

Suka suasana tradisional

Menjelaskan atur cara yang di adakan pada hari majlis rumah terbuka di adakan, Mona lebih menyukai suasana tradisional dengan bertemu dan berjabat tangan dengan semua tetamu yang datang tanpa terlalu formal hingga menyediakan pentas atau mikrofon untuk memberi sebarang ucapan.

“Saya sukakan suasana yang lebih santai, tidak ada pentas atau mikrofon bagi acara yang terlalu formal, tiada aktiviti yang khusus, hanya lagu latar untuk memeriahkan suasana, saya akan mengalu-alukan tetamu dengan keikhlasan kerana mereka sudi menghadiri majlis yang diadakan ini. Tetamu yang datang boleh juga lebih selesa dengan berada di khemah atau di dalam rumah, mereka juga boleh menunaikan solat tanpa perlu terikut dengan atur cara yang telah dirangka lebih awal.

“Biasanya saya memperuntukkan satu hari khas untuk rumah terbuka, bermula dari waktu pagi hingga lima petang untuk kenalan bisnes manakala lima petang hingga jam 12 tengah malam diperuntukkan untuk ahli keluarga, sanak saudara dan jiran-jiran kami. Maka ia akan lebih teratur kerana saya akan memastikan seorang kenalan pun tidak akan ketinggalan bertemu dengan saya.

“Tetapi biasalah jemputan yang datang lebih kurang 1500 orang, jadi mungkin saya tidak sempat untuk berbicara panjang, mungkin sempat bersalam dan bertanya khabar sahaja namun saya pasti mereka memahami kerana apa yang penting ialah saya akan mengucapkan terima kasih atas kesudian mereka menghadiri majlis terbuka yang diadakan ini.” jelas Puan Mona yang tidak suka menyampaikan sumbangan secara terbuka kerana baginya biarlah rezeki yang mahu dikongsi bersama mereka yang kurang berkemampuan tidak diwar-warkan.

Baiti Jannati
Halaqah keluarga kunci bahagia

Bertemu dengan keluarga berketurunan Syed dan Sharifah ini membuatkan rasa bertuah, ini kerana banyak cerita menarik yang boleh dikongsikan. Apatah lagi Doktor Syed Mohd Haleem merupakan salah seorang sukarelawan misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.  Bercerita ke arah sisi peribadi kehidupan mereka, menurut Syarifah Nurul Huda, Pertamanya beliau panjatkan setinggi-tinggi syukur pada Allah kerana memperjodohkan mereka berdua melalui aturan orang tua. Kebetulan antara mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dan kedua dua belah keluarga saling mengenali latar belakang masing-masing.

“Walaupun kami ada pertalian keluarga, namun saya tidak mengenali suami di sebabkan beza umur yang ketara iaitu 11 tahun. Lagipun ketika saya di Darjah 4 (1984), dia telah menyambung pelajaran ke Turki. Kami melangsungkan perkahwinan ketika saya berada di tahun dua di peringkat Diploma. Alhamdulillah, setelah berkahwin kami dikurniakan cahaya mata dan saya sangat bersyukur di atas rezeki yang amat berharga itu,” ujarnya.

Halaqah Keluarga

Setiap bahtera pasti ada pasang surutnya, namun pasangan ini bijak dalam menghadapi cabaran dan dugaan. Biarpun, Syarifah bergelar suri rumah namun penglibatannya dalam pelbagai program kemasyarakatan membezakan dirinya dengan suri rumah yang lain.

Sementara tugas suami sebagai seorang doktor perubatan di samping kerja-kerja amal bersama pertubuhan HALUAN, begitu mencabar pasangan ini dari segi pembahagian waktu yang berkualiti untuk mereka sekeluarga.  Namun, atas saling toleransi dan memahami misi dan visi perjuangan diri, kedua-duanya berusaha menangani situasi ini dengan bijak dan berkesan. Oleh itu, pendekatan Halaqah keluarga menjadi medan untuk mereka meluangkan masa bersama anak-anak. Melalui kaedah ini, perhubungan bersama keluarga dapat disemarakkan dengan cara yang cukup berilmu.


“Antara cabaran dan rintangan yang muncul dalam perhubungan kami adalah kesempitan waktu. Kerja-kerja dan tugasan masing-masing yang melibatkan kemasyarakatan merupakan faktor kekurangan masa antara kami sekeluarga. Jadi kami amalkan Halaqah keluarga yang merupakan antara aktiviti yang saya dan suami rancang dan laksanakan bersama anak-anak pada hampir setiap minggu.  Kami dan anak-anak akan duduk bersama sambil menelaah beberapa potong ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Perbincangan tentang sirah Nabi dan menghayati keagungan ciptaan Allah antara topik yang selalu kami terapkan. Selain itu, kami juga tidak pernah tertinggal untuk menyentuh perjuangan dan masalah Palestin. Walaupun anak-anak masih kecil tetapi mereka faham akan keperitan rakan seagama mereka di sana. Secara tidak langsung mereka juga akan faham usaha yang dilakukan oleh orang tua mereka untuk sama-sama membantu masyarakat Palestin,” jelasnya lagi. Di samping itu, solat berjemaah merupakan rutin harian yang mereka sekeluarga lakukan selain makan bersama. Ketika inilah masing-masing mengambil kesempatan untuk berinteraksi bersama anak-anak.

Selanjutnya dapatkan majalah NUR SEPTEMBER 2010 di pasaran sekarang!