Siapa di hati Linda Onn? 5 ciri lelaki pilihan hatinya

Suara lunaknya sering kali menjadi peneman peminatnya di ruang udara. Mendengar suaranya sahaja boleh membuatkan kita ‘mabuk cinta’ dengannya. Itulah aura si gadis manis yang diberi nama Linda Onn ini. Menggalas tanggungjawab sebagai seorang penyampai radio dan pengacara yang terkenal tidak pernah membuatkan dirinya melatah, malah dia sentiasa berfikiran positif dan meletakkan matlamat yang tinggi agar dirinya disenangi.

Membina kerjaya sebagai seorang personaliti tempatan bukanlah suatu yang mudah. Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak pernah sekali pun melatah atau pun berputus asa. Itulah semangat dan keazaman yang ada dalam diri si tinggi lampai ini. Kesudiannya datang ke KKSB dan menjayakan sesi fotografi sangat dialu-alukan. Pesona Pengantin berkongsi pelbagai cerita menarik dengannya.

Pesona Pengantin: Trend sekarang, lelaki muda bercinta dengan wanita yang berusia. Melewati usia 32 tahun, adakah Linda juga akan memilih cinta sedemikian?
Linda Onn: Dari zaman nabi lagi sebenarnya perkara sebegini sudah terjadi. Ini dinamakan jodoh pertemuan yang ditentukan oleh Allah. Secara jujurnya saya lebih suka jika lelaki itu lebih tua daripada saya. Biarlah dia seorang yang matang dan lebih mahir dalam mengemudi bahtera kehidupan. Namun jika ditakdirkan diri saya dirapati oleh lelaki yang lebih muda, saya akan terima. Apa salahnya asalkan dia matang dan menghormati saya. Kalau dia menjadi suami, saya tetap akan menghormatinya walaupun usianya lebih muda dan yang seronok tentu diri saya juga akan nampak lebih muda. (sambil tertawa).

Pesona Pengantin: Adakah Linda seorang yang cerewet dalam memilih pasangan dan apakah ciri-ciri lelaki pilihan?
Linda Onn: Dia mestilah seorang yang ‘smart’ dalam berpakaian dan ‘good looking’. Saya suka lelaki yang lebih tinggi daripada saya dan berbadan gagah serta boleh menjadi pelindung. Selain itu, dia juga harus ada latar belakang agama yang baik agar dia dapat membimbing saya dan bukan cintakan saya kerana nama atau kedudukan.

Pesona Pengantin: Nyata diri Linda dalam 5 perkataan
Linda Onn: Ceria , Gila-gila , Ringkas, Jimat dan Cepat.

Pesona Pengantin: Adakah ‘hati’ anda sudah dimiliki oleh seseorang ?
Linda Onn : Adakah memakai pakaian pengantin ini membuat saya rasa gembira bila hati ini tidak dimiliki oleh seseorang? Jawapannya tidak. (sambil tersenyum)

Pesona Pengantin: Apakah impian majlis perkahwinan Linda?
Linda Onn: Selama ini saya mengimpikan konsep perkahwinan di taman yang indah. Saya juga mengimpikan perkahwinan di sebuah pulau dan para tetamu yang datang diterbangkan khas ke lokasi yang dipilih semata-mata untuk menghadiri resepsi perkahwinan saya dan Mr. ‘Lucky Man’ nanti. Konsep ‘garden wedding’ ini diserikan dengan bunga-bunga kegemaran saya seperti mawar merah, mawar putih dan bunga lily putih. Gabungan warna putih dan hijau di sekeliling ditambah pula dengan tiupan angin dan deruan ombak di pantai membuatkan suasana menjadi begitu romantik



Kita ikuti kisah menarik mereka ini yang dikongsi bersama Pesona Pengantin Februari 2010.