Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Lagi Maha Penyayang
DILEMA MENCARI RESTORAN CINA
YANG BENAR-BENAR HALAL
“Pastikan restoran yang awak nak shoot resipi itu betul-betul diusahakan oleh orang Islam dan ada sijil halal”. Itulah pesanan yang acap kali saya ungkapkan pada wartawan RASA, apabila kami mengangkat masakan cina sebagai tema yang mahu ditonjolkan dalam RASA. Saya terpaksa berpesan hal yang satu itu berulang kali
kerana saya yakin majoriti orang Islam, tidak kira lemah atau kuat pegangan agama mereka, bab halal atau haram sesuatu makanan masih menjadi hal yang sensitif kepada mereka.
Saya menyedari ramai orang Islam khususnya orang Melayu yang menggemari masakan cina. Lantaran itu saban tahun mengambil sempena sambutan Tahun Baru Cina, untuk keluaran Februari RASA menampilkan tema Masakan Cina tetapi diperkuatkan dengan perkataan halal atau Muslim. Dan kali ini kami gabungkan bersama masakan Baba Nyonya bagi melengkapi tema utama tersebut. Sebab lain kenapa tema ini kami utarakan saban tahun, ialah kerana orang Islam masih tidak bebas untuk menikmati masakan cina di luar rumah. Sekurang-kurangnya resipi yang RASA tampilkan boleh juga dicuba di dapur sendiri. Di sini masih terlalu kurang restoran masakan cina Muslim yang ‘tumbuh’, lebih-lebih lagi yang diusahakan sendiri oleh golongan cina muslim. Saya membayangkan kalaulah restoran masakan cina muslim melata di mana-mana tempat seperti restoran tom yam, pasti ia
akan menjadi trend baru yang mampu menenggelamkan populariti masakan berasal dari Thailand itu.
TERKENA
Apa yang banyak di sekeliling kita kini ialah restoran berkonsep kopitiam, mengambil semangat daripada perniagaan kedai kopi cina yang terdapat di kampung-kampung pada masa dulu. Mengambil contoh kedai kopitiam yang dulu ia memang amat unik, kerana orang kampung yang melepak di kedai seperti itu tidak mengira bangsa. Orang Melayu, cina, india semuanya duduk bersama di kedai yang tentu sekali taukenya ialah orang cina. Bersembanglah mereka sesama mereka tanpa ada masalah sambil menikmati secawan kopi panas atau Kopi Cham dalam cawan antik serta menikmati roti paun bakar yang disapu kaya dan mentega.
Relevan memang relevan bila dikaitkan konsepnya dengan semangat 1 Malaysia yang sedang dipromosikan sekarang, tetapi berbeza dengan yang dulu sesetengah kopitiam yang muncul pada masa kini ada yang masih disangsikan halal haramnya. Saya sendiri pernah menerima beberapa kiriman e-mel yang mendakwa ada mi yang digunakan di restoran kopitiam tertentu mengandungi lemak babi atau dalam bahasa Inggeris disebut lard. Ia dikesan kerana mi tersebut tertera dalam senarai menu. Tidak cukup dengan itu ada juga sos yang digunakan ialah buatan restoran itu sendiri yang boleh dicurigai kandungannya. Sayangnya, yang dipertikaikan itu ialah restoran kopitiam yang sangat popular namanya, mengambil tempat yang luas di sudut tepi, bangunan kedai di pelbagai tempat. Sebenarnya saya sendiri pernah ‘terkena’ beberapa tahun yang lalu. Ia terjadi kepada salah sebuah restoran yang ala-ala masakan cina, yang baru beroperasi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, waktu itu. Biasalah, pantang ada restoran baru pasti saya dan kawan-kawan mahu mencuba. Tak sedikitpun curiga walaupun mengetahui taukenya bukan orang Islam. Tup, tup, tidak sampai tiga hari selepas kami ke situ, dikhabarkan bahawa restoran itu telah diserbu oleh pihak berwajib setelah mendapat aduan daripada penduduk Islam setempat. Sah! bila diperiksa bahagian dapur restoran itu memang tidak mengikut prosedur
sebagai restoran halal. Ia disita beberapa lama dan akhirnya beroperasi kembali sehingga kini.
Kesimpulannya, persoalan untuk mencari restoran masakan cina halal yang diusahakan oleh muslim sendiri masih menjadi dilema kebanyakan orang Islam di sini. Awaslah! agar anda tidak terkena. Sekian, salam secangkir kata.
BIDALAN :
Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksudnya: Suatu kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain turut sama menerima akibatnya. Oleh sebab itu berhati-hatilah agar anda tidak menjadi telur sebiji yang pecah itu.
SECANGKIR KATA,
Yati Rohani Rahim
Editor Kumpulan RASA
yati.rahim@karangkraf.com.my
JUJUR, TANGGUNG JAWAB, WAWASAN, DISIPLIN, BEKERJASAMA, ADIL, PRIHATIN