Siti Nurzulaika Ismail
Sering Mengungguli Kejohanan Boling
Tahun ini, pada tanggal 5 Januari maka genaplah 10 tahun usia si gadis yang memiliki senyuman yang menawan ini. Biarpun baru sahaja berusia setahun jagung, tidak bermakna gadis yang dinamakan Siti Nurzulaika Ismail ini tidak boleh mencapai kejayaan besar untuk dirinya.
Sering mengungguli sebarang kejohanan boling, gadis yang lebih mesra dengan panggilan Zulaika ini tidak betah untuk duduk diam. Setiap kali ada kelapangan, pasti pusat boling yang akan dikunjungi demi minat yang mendalam terhadap sukan ini di samping untuk memantapkan lagi kemahiran hayunan tangannya itu. Mac lalu, sekali lagi Zulaika menyandang kejuaraan kategori perempuan dalam Kejohanan Boling Kebangsaan Bawah 12 Tahun 2008 di Pyramid Mega Lanes, Sunway. Apa lagi kisah menarik tentang Zulaika?
Kita ikuti kisah selanjutnya.
Boleh ceritakan serba sedikit mengenai penglibatan awal Zulaika dalam sukan boling ini?
Ketika berusia lima tahun, saya sering mengikut ibu dan bapa saya yang sememangnya amat meminati sukan boling ini ke tempat permainan boling. Pada permulaannya, penglibatan saya sekadar sukasuka. Namun, lama-kelamaan saya bertekad untuk menjadikan hobi saya ini sebagai salah satu aktiviti yang serius.
Ikuti kisah seterusnya dalam e-baca Ogos ini.
Imiey Eleena Hanim
Meraih Johan Jejak Maklumat Peringkat Negeri
Mengenali diri Imiey Eleena Hanim Suhaimi tidak ubah seperti mengenali seorang insan yang sudah lama kita kenali. Sikapnya yang peramah dan disenangi oleh rakanrakan dan juga guru-guru membuatkan gadis ini mudah didekati. Dia yang lebih mesra dengan nama Hanim di kalangan rakan-rakan ternyata seorang yang bijak dan aktif di dalam pelbagai aspek. Maka tidak hairanlah Hanim sering mendapat tempat pertama di dalam kelasnya.
Rutin harian tidak jauh berbeza dengan rakan-rakan sebayanya. Pagi ke sekolah kebangsaan manakala petang ke sekolah agama. Pada sebelah malamnya pula, Hanim akan mengulang kaji pelajaran ataupun menyelesaikan kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan menonton televisyen. Namun begitu, Hanim sentiasa mengungguli kejayaan di dalam bidang akademik.
Hanim akan memberi sepenuh perhatian ketika guru mengajar di dalam kelas dan tidak malu untuk bertanya. Pengalaman meraih juara Pertandingan Jejak Maklumat peringkat Negeri anjuran Pusat Sumber Peringkat Negeri (PSPN) di Perpustakaan Awam Negeri Selangor merupakan pencapaian (achievement) paling membanggakan. Menurutnya, pertandingan Jejak Maklumat ini merupakan pertandingan seakan Explorace yang disiarkan di kaca televisyen.
Ikuti kisah seterusnya dalam e-baca Ogos ini.
SK Kanchong Darat
Antara Sekolah Terawal di Kuala Langat
Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Selangor ini merupakan satu lagi pilihan e-baca untuk dikenali. Menurut sejarah awalnya, bangunan lama sekolah ini telah ditubuhkan pada sekitar tahun 1922 di atas tanah (land) seluas empat ekar. Bangunan ini dikatakan telah dibina oleh seorang tukang kayu (carpenter) berbangsa cina dengan menggunakan tiang batu setinggi lima kaki untuk menampung dua bilik darjah. Sekolah yang dibina menggunakan 21 batang tiang untuk mendirikan bilik darjah ini hanya beratapkan nipah dan berdindingkan bertam dengan menggunakan kayu sebagai penahan tingkap.
Hanya pada tahun 1925, sekolah ini telah dibuka secara rasminya dengan menggunakan nama Sekolah Melayu Kanchong Darat. Kemudiannya, perubahan demi perubahan dapat disaksikan pada sekolah ini melalui struktur fi zikalnya seiring dengan masa dan perubahan zaman. Bangunan baru sekolah ini telah siap dibina pada bulan Disember 1971 dan dirasmikan (offi ciated) oleh Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Selangor dan sehingga kini bergelar Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat.
Sejak penubuhan sekolah ini, seramai 16 orang guru besar pernah bertukar khidmat di sekolah ini. En. Mohd Sudin Ibrahim merupakan guru besar pertama yang bertugas. Tahun berganti tahun, masa silih berganti. Selepas beberapa kali guru besar bersilih ganti, kini, Pn Nooriah Zakariah pula yang ditugaskan untuk menjawat jawatan tersebut dan paling istimewa adalah kerana beliau merupakan guru besar perempuan pertama yang berkhidmat di sekolah ini.
Jangan berlengah lagi untuk mendapatkan e-baca keluaran Ogos di kedai yang berhampiran.