"Kini menginjak ke usia 36 minggu dan hasil imbasan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan bayi dalam kandungan Afida dalam keadaan songsang atau breech. Afida resah dan tidak tahu apakah situasi bayi songsang yang sedang dilaluinya."

Mungkin ramai yang mempunyai pengalaman hamil dan bayi songsang sebagaimana kes Afida ini. Apakah jenis-jenis songsang dan apakah faktor yang menyebabkan ia terjadi? Ada tak peluang untuk melahirkan secara normal? Menurut Dr Norleen Salleh, pakar sakit puan dan perbidanan Hospital DEMC Shah Alam, bayi dalam posisi songsang dalam tempoh tertentu dan akan kembali ke kedudukan kepala ke bawah menjelang minggu ke-36. Tetapi bagi kes bayi songsang, posisinya tidak berubah. Lazimnya doktor akan mendiagnosis kandungan berada dalam keadaan songsang apabila menjelang minggu ke-36 melalui ujian imbasan. Pengesahan pada waktu ini agak membimbangkan kerana bayi semakin membesar dan agak sukar untuk bergerak dan mengubah kedudukan kepalanya ke bawah.

Terdapat tiga keadaan songsang yang biasa dihadapi oleh ibu hamil.

  • Complete breech iaitu keadaan songsang di mana punggung bayi menghadap bahagian bawah uterus manakala kakinya dalam keadaan terlipat di bawah punggungnya.
  • Extended breech iaitu punggung bayi seperti duduk di dalam saluran kelahiran (birth canal) dengan kakinya berlunjur ke depan.
  • Footling breech iaitu membabitkan sebelah atau kedua-dua kaki bayi terletak di bahagian bawah seperti dalam keadaan berdiri.

 

FAKTOR YANG MENYEBABKAN TERJADINYA KANDUNGAN SONGSANG

Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya kandungan songsang. Antaranya ialah seperti berikut;

  1. Kedudukan uri di bawah (placenta previa).
  2. Tali pusat pendek
  3. Bayi mempunyai kecacatan.
  4. Air ketuban terlalu banyak atau sedikit.
  5. Ketumbuhan dalam pelvis seperti cyst atau fibroid di dalam rahim ibu.
  6. Bentuk uterus yang tidak normal atau keradangan seperti endometriosis.
  7. Kontraksi pramatang yang menyebabkan kelahiran berlaku pada waktu itu.

 

PROSEDUR UBAH KEDUDUKAN BAYI SONGSANG

Kedudukan bayi yang songsang boleh diubah dengan cara tertentu bergantung pada keadaan ibu, bayi, tali pusat dan uri. Prosedur External Cephalic Version (ECV) iaitu proses memusingkan kepala bayi ke bawah boleh dilakukan pada minggu ke-32 hingga 36 di hospital oleh doktor pakar yang mahir dengan menggunakan bantuan pengimbas ultra bunyi untuk melihat kedudukan uri, tali pusat dan anggota badan bayi.

 Alat untuk mengukur degupan jantung bayi turut digunakan untuk mengetahui tahap kesihatan bayi. Ramai yang mengatakan prosedur ini menyakitkan dan ia mempunyai risiko yang tertentu. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mencetuskan kontraksi dan menyebabkan kelahiran. Urutan tradisional dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada uterus, putus tali pusat, uri lekang, tumpah darah, kelahiran pramatang dan kematian bayi dalam kandungan.

    Ibu juga boleh berusaha dengan mengamalkan kedudukan bersujud (kedudukan melutut dan kepala direndahkan). Tarikan graviti boleh membantu menggerakkan kepala bayi ke bawah. Kedua-dua cara iaitu prosedur ECV dan bersujud boleh dilakukan namun peratusan berjaya adalah rendah sekiranya tali pusat bayi pendek atau berbelit.

 

BOLEHKAH DILAHIRKAN SECARA NORMAL?

Tidak semua kandungan songsang boleh dilahirkan melalui cara normal. Pembedahan caesarean adalah alternatif utama. Hanya dalam keadaan tertentu sahaja kelahiran normal melalui serviks yang dibolehkan oleh para pakar perbidanan iaitu seperti di bawah;

  1. Bukan bayi pertama dan mempunyai pengalaman melahirkan secara normal.
  2. Rahim ibu tidak mempunyai parut pembedahan (scar).
  3. Saiz bayi kurang daripada 3.5kg.
  4. Ukuran pelvis ibu.
  5. Tidak melebihi tarikh jangkaan bersalin.
  6. Bayi dalam keadaan sihat.
  7. Dipersetujui ibu dan suaminya.

Perlu difahami bahawa kelahiran bayi songsang dengan kaedah normal mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi tali pusat (cord accident) seperti cord prolapse iaitu tali pusat yang terkeluar terlebih dahulu sebelum bayi. Jika ini berlaku, ia boleh menyebabkan tali pusat tidak berfungsi dengan baik dan bayi berkemungkinan tidak mendapat bekalan oksigen dan boleh menyebabkan kematian. Tali pusat juga boleh menjerut leher bayi dan boleh menyebabkan bayi lemas. Risiko tali pusat berpintal juga perlu diambil kira.

    Selain itu, kedudukan kepala bayi di atas juga boleh menyebabkan ia tersangkut di saluran servis. Hal ini kerana bahagian kepala adalah yang paling besar boleh menyebabkan asphyxia (lemas)  yang boleh menyebabkan kecacatan otak dan kematian.

Menurut Dr Norleen, doktor yang merawat akan memberikan kaunseling pasangan terbabit tentang cara terbaik yang boleh dilakukan berdasarkan keadaan dan situasi semasa. Alternatif melahirkan terbaik bagi kehamilan songsang ialah pembedahan caesarean. Pembedahan ini akan dicadangkan apabila kehamilan mencecah usia minggu ke-37 di mana bayi telah matang.