Umum telah memahami bahawa anak-anak di didik secara bermain di usia tujuh tahun ke bawah. Ketika anak berada di usia disiplin atau apabila dah menginjak ke alam sekolah rendah, latih anak-anak bertanggungjawab dengan hasil usaha mereka secara beransur-ansur.

Izinkan mereka silap. Izinkan anak menerima kesan kelalaian mereka seperti menyepahkan rumah, tidak menyiapkan kerja rumah, atau tertinggal buku yang patut dibawa ke sekolah.

Benarkan mereka merasa kecewa ketika gagal kerana tidak mengulangkaji pelajaran. Jika mereka tertinggal bekal, jangan berkejar ke sekolah untuk menghantar!

Elakkan menjadi ibu ayah yang 'micro manage' segala urusan anak sehingga mereka kekurangan pengalaman dalam mendepani cabaran kehidupan.

Lebih berat jika ibu ayah hanya fokus agar anak mendapat A dalam pelajaran, sehingga anak-anak tertinggal ruang meneroka seluruh dimensi dan potensi sebagai insan.

Ruang untuk anak belajar

Pada usia ini, kesilapan anak adalah ruang pendidikan yang berkesan. Ikuti tiap kesilapan dengan bimbingan dan dorongan. Jangan pula ruang mendidik itu dirosakkan dengan tuduhan dan celaan.

Anak yang dibenarkan/dibiasakan mengurus kesilapan dan kekurangannya ketika di peringakt awal lagi akan lebih matang dan bertanggungjawab ketika menempuh usia sekolah rendah dan menengah.

Hakikatnya, di usia menengah, kebanyakan anak-anak telah dewasa. 'Expectation' atau harapan pihak sekolah dan masyarakat luar telah menjadi lebih besar berbanding sebelumnya.

Ketika ini mereka harus mampu menduga kesan pilihan mereka hari ini dalam menentukan kejayaan hari esok. Mereka juga harus sedar pentingnya kerja keras dalam menempuh dunia nyata.

Memahami konsep sebab dan akibat ini memudahkan anak menjadi bertanggungjawab. Ia sangat penting sebelum mereka menghadapi dunia pekerjaan, apalagi alam perkahwinan.

Untuk itu, ketika mereka masih di umur disiplin, di usia sekolah rendah, izinkan anak silap. Pimpin mereka dengan kata-kata positif agar mereka menerima kesan kesilapan dan belajar memperbaikinya. Inilah jalan yang dapat membantu anak menjadi bertanggungjawab. Izinkan anak silap.

Sumber: Badariah Ismail