Kalau kita suruh anak buat apa pun, anak akan ikut je perintah kita. Sama ada ikut kerana TAKUT ataupun ikut kerana kita ada seni dan teknik yang positif untuk disiplinkan si comel kita.

Ada ibu bapa yang bagi arahan anak terus buat, tapi ada juga yang kena cakap berulang kali baru dengar.

Ini 5 teknik yang dikongsikan Taufiq Razif bagaimana nak buatkan anak ikut perintah kita dengan cara yang positif.

1 - Konsisten

Anak-anak ni akan tahu ikut cakap kita kalau dia tahu kita ni jenis yang tetap pendirian. Kalau kita cakap A, maka kita memang nak A. Bila kita jenis tak tegas dan jenis mudah berubah pendirian, waktu tu la anak akan berharap yang kita akhirnya akan cair dengan mereka.

2 - Tenang

Masa kita bagi arahan pada anak kita tu pastikan kawalan emosi kita berada pada tahap yang terbaik. Sebab tu bebel ni tak mampu membuatkan anak kita patuh sebab emosi kita masa tu sangat tak stabil dan ingat, anak boleh hidu emosi negatif dalam diri kita!

3 - Arahan kena pendek dan jelas

Ada mak ayah ni kalau suruh anak mandi pun dia boleh bagi sampai 3-5 arahan sekaligus. " Adik lepas ni mandi, pastu gosok gigi. Gosok gigi elok-elok jangan tumpah ubat gigi, jangan pakai sabun banyak sangat ".

Akhirnya anak sendiri pun keliru nak ikut yang mana satu. Bagi arahan tu biar jelas dan satu persatu. Otak si anak tak mampu nak proses banyak sangat arahan dalam satu-satu masa.

4 - Cepat

Kalau anak buat salah cepat-cepat tegur dan tunjukkan cara yang betul. Jangan tunggu 2 - 3 jam lepas tu baru nak cakap yang perbuatan dia tu salah. Waktu tu anak dah lupa dah kesalahan dia.

5 - Puji

Bila anak buat baik dan benda yang kita suka terus je puji. Barulah anak tu akan ketagih nak buat benda baik tu lagi. Kalau ikut kajian tentang 'reward and punishment theory'. Reward tu lebih berkesan untuk memotivasikan anak kecil. Pujian ibu bapalah sebenarnya reward yang paling berharga pada otak anak-anak kita!

Insya-Allah kalau boleh amal 5 benda ni, perlahan-lahan kita akan nampak perubahan positif pada perangai anak-anak.