Soalan:

Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Saya sedang berusaha untuk menambah stok susu ibu bagi kegunaan anak sepanjang berada di rumah pengasuh. Apa lagi cara yang boleh saya lakukan untuk meransang pengeluarannya dan pastikan penghasilan susu kekal lancar?

 

Jawapan:

Ada ketika, ibu yang menyusukan anaknya akan mengalami situasi di mana pengeluaran susu ibu menurun akibat masalah tertentu. Diri tertekan merupakan salah satu puncanya. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan tentang bulan Ramadan yang memerlukan ibu berpuasa sepanjang hari siang.

Puan jangan bimbang. Ada beberapa cara yang boleh diusahakan bagi merangsang pengeluaran seperti sedia kala. Terdapat pelbagai jenis kaedah yang boleh diaplikasikan dalam membantu diri untuk memperbanyakkan susu ibu. Salah satu kaedahnya dikenali sebagai power pumping.

Kaedah ini merupakan teknik mengepam yang sangat berkesan dalam membantu puan meningkatkan penghasilan susu. Caranya sungguh mudah! Apa yang diperlukan hanyalah pam dan peruntukan masa selama satu jam bagi menjayakan misi ini. Teknik ini melibatkan rutin mengepam seperti yang biasa anda lakukan setiap hari. Namun, ia dijalankan dalam cara yang lebih unik berbanding biasa.

Idea asal kaedah ini ialah meniru corak bayi menyusu yang secara tidak disedari dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu. Dalam usaha menambah kuantiti susu perahan yang mahu disimpan untuk kegunaan bayi sepanjang bekerja, puan digalakkan untuk melakukan teknik power pumping sekerap yang boleh. Sekali dalam sehari pun memadai. Jika mempunyai banyak masa terluang, puan boleh melakukannya lebih daripada sekali dalam tempoh 24 jam.

Waktu yang paling sesuai untuk melakukan power pumping ialah di tengah malam. Hal ini kerana pengeluaran hormon prolaktin adalah sangat tinggi pada waktu sebegini. Walaupun begitu, tidak kiralah ia dilakukan pada waktu siang ataupun malam. Apa yang penting puan selesa dan dapat melakukannya dalam keadaan selesa dan tenang.

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa walaupun pada peringkat awal susu yang diperoleh berkemungkinan hanya setitik dua. Jangan panik! Puan dinasihatkan untuk terus melakukannya. Lazimnya, kesan daripada amalan power pumping akan mula kelihatan selepas tempoh satu hingga ke dua minggu.

Tidak dinafikan ramai yang tidak tegar untuk meneruskan kaedah ini. Pada pendapat mereka ia merupakan sesuatu yang leceh dan memakan terlalu banyak masa. Jangan begitu! Percayalah, usaha yang diiringi kesungguhan dan kesabaran secara berterusan akan menjadi tonggak kejayaan yang tidak terbanding nilainya. Apa yang pasti, puan akan berpuas hati dengan hasil yang bakal diperoleh kerana ia telah banyak membantu para ibu menyusu merangsang semula penghasilan susu ibu.

 

Teknik power pumping

1. Pam tunggal

Pam payudara kanan terlebih dahulu selama 10 minit. Kemudian beralih ke payudara kiri pula untuk tempoh 10 minit juga. Tukar semula ke payudara kanan selama 10 minit dan seterusnya ke payudara kiri. Lakukannya secara berterusan selama sejam.

2. Pam berganda

Pam kedua-dua belah payudara serentak selama 10 minit. Kemudian rehat selama 10 minit dan sambung kembali mengepam untuk 10 minit lagi. Setelah itu, rehat 10 minit dan pam lagi selama 10 minit sehingga cukup tempoh satu jam.

 

Tip tambahan

• Tempatkan pam payudara di lokasi bersesuaian di rumah agar puan dapat melakukan kaedah power pumping di dalam keadaan yang tenang tanpa sebarang gangguan.

• Puan tidak perlu menyejukkan susu perahan di antara sesi mengepam ataupun mencuci corong pam (breast shield) setiap kali berhenti rehat. Puan boleh terus mengepam ke dalam botol yang sama.

• Setiap jumlah perahan susu ibu di antara satu waktu dengan waktu perahan yang lain boleh dicampurkan. Namun pastikan setiap susu perahan itu disejukkan terlebih dahulu. Apabila suhunya sama, barulah semua hasil perahan power pumping digabungkan di dalam satu bekas.

 

Soalan ini dijawab oleh Rita Rahayu Omar, IBCLC