Hanya satu perkataan yang terucap saat melihat Sultan berjiwa rakyat ini mencemar duli ke program Malaysia #QuranHour di Putrajaya tadi; MasyaAllah! Selain melihat Tuanku mengaji, kemesraan baginda yang sudi bersalam dengan semua rakyat jelata mencairkan hati kami di sana.

DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang mencemar duli ke program ini bukan sahaja mesra menyantuni tetamu, malah baginda berkenan untuk bertadabur, bertazakur, mendengar bacaan 24 surah oleh 24 tokoh serta turut mengaji dalam program selama sejam ini.

Hadir sama mengiringi baginda berangkat ke program ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Selesai acara Malaysia #QuranHour, baginda turut melapangkan waktu untuk solat Zohor berjemaah, sebelum berangkat meninggalkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kira-kira jam 1.45 petang. Momen menatap wajah Sultan Perak yang sentiasa segak dan tidak putus-putus memberikan senyuman sehingga kini kekal sebagai kenangan terindah di jiwa tetamu Malaysia #QuranHour hari ini.

TRIVIA

  1. DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Shah berusia 61 tahun, diputerakan pada 27 November 1956 di Georgetown, Pulau Pinang.
  2. Merupakan putera sulung kepada Sultan Perak ke-34, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Tuanku Siti Bainun Mohd Ali.
  3. Isteri baginda, Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim Davidson, 44 tahun merupakan anak jati Ipoh. Baginda berdua memiliki sepasang cahaya mata iaitu YM Raja Azlan Muzaffar Shah, 9 tahun dan YM Raja Nazira Safya, 6 tahun.
  4. Dihantar bersekolah di United Kingdom semuda 13 tahun, seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Oxford pada 1979; diikuti Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard pada 1984.
  5. Baginda seterusnya memperoleh Ph.D dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan, juga dari Universiti Harvard. Sebagai seorang yang pintar dan berpelajaran tinggi, baginda selalu memberi pandangan bernas tentang isu politik, sosial, ekonomi dan kemasyarakatan.