Dalam zaman serba moden ini tanggungjawab suami dan isteri sudah menjadi sama. Apa yang isteri boleh buat suami juga boleh melakukannya. Tiada pengkhususan tertentu yang dihadkan bagi suami atau isteri.

Ini kerana kedua-duanya menyumbang pada ekonomi dalam rumah tangga.

1. Selepas berkahwin, sekurang-kurangnya selepas sebulan, adalah dinasihatkan berpindah ke rumah baru supaya boleh berdikari dan senang merancang kehidupan berumah tangga. Jangan tinggal dengan keluarga sama ada ibubapa atau sanak saudara kerana dikhuatiri akan timbul konflik dan perselisihan faham yang boleh mengeruhkan ikatan kekeluargaan.

Ada ibu bapa yang masih mahu anaknya tinggal bersama mereka selepas berkahwin, tetapi adalah lebih baik mereka yang baru berkahwin mencari rumah lain untuk memulakan alam berumahtangga.

Baca: Mengapa Perlu Pindah Selepas Berkahwin

2. Apabila sudah berkahwin, tanggungjawab yang digalas semakin banyak. Amalkan berbelanja berhemah dan bersederhana dalam setiap yang dilakukan. Berbelanja ikut keperluan dan kepentingan.

3. Jangan membazir dengan mengubahsuai rumah atau mencantikkan rumah. Ini kerana masalah kewangan akan menyebabkan rumahtangga dilanda konflik. Wujudkan keselesaan dalam rumahtangga, biar rumah kecil tetapi kemas dan bersih selalu. Lengkapkan rumah dengan perkara asas seperti peralatan dapur, tempat tidur dan peralatan peribadi.

Baca: Cara Jimat Pindah Rumah Baru

4. Bijak merancang ekonomi. Jika dulu gaji untuk diri sendiri sahaja, sekarang pendapatan perlu digabung berdua dan mengamalkan perkongsian hidup dalam pelbagai cara bagi mendapat keberkatan hidup berumahtangga.

5. Bagi suami pula memahami kelemahan isteri dan membantu isteri jika mempunyai kelapangan. Zaman ini lelaki dan perempuan sama mencari rezeki untuk keluarga. Jadi suami atau isteri perlu banyak berkompromi untuk mencapai satu permuafakatan dalam membina rumahtangga yang diidamkan.

6. Suami isteri perlu tahu tanggungjawab masing-masing dan bukan mengambil kesempatan terhadap kelemahan suami atau isteri. Ada kalanya suami atau isteri ingin menjadi dominan dalam rumahtangga dan menyebabkan pasangan rasa sangat tertekan.  Di awal perkahwinan jelaskan apa yang anda mahu dalam perkahwinan dan bagaimana ianya boleh dilaksanakan bersama untuk membina sebuah rumah tangga yang bahagia.

7. Belajar memahami kelemahan dan sifat pasangan. Jika suami mempunyai sikap yang kurang disenangi isteri, mereka perlu berbincang dan jangan menyimpan perasaan sakit hati atau rasa tidak senang tanpa meluahkannya. Kebenaran menyakitkan tetapi mestilah diingat bahawa ada kalanya seseorang itu tidak tahu kesilapannya sehingga dia diberitahu.

8. Selalu menziarah ibubapa dan keluarga pasangan, eratkan hubungan kekeluargaan dikedua-dua belah pihak. Mertua dan keluarga pasti berasa bahagia apabila mereka sering dikunjungi dan ini secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan keluarga walaupun setelah berkahwin.

9. Bekerjasama, saling berkasih sayang, mempunyai komunikasi yang baik disulami dengan gurau senda, mengambil berat tentang pasangan dan keluarga mereka serta saling mendoakan antara satu sama lain.