Bertempat di Ritz-Carlton Kuala Lumpur, butik multi label ShoesShoesShoes mempersembahkan koleksi lebaran pertama Ong Shunmugam yang diberi nama ‘Gadis Perkasa’. Ong Shunmugam adalah satu jenama yang tidak asing lagi dalam arena fesyen Singapura dan Malaysia dan juga antarabangsa. Dengan rekaannya yang diterima baik bahkan digayakan oleh selebriti Hollywood, pereka fesyen dan pemilik jenama ini Priscila Shunmugam nampaknya sudah bersedia menghasilkan koleksi lebaran yang pertama baginya. Anak kelahiran Malaysia yang kini bermastautin di Singapura ini menghamparkan koleksi yang cukup unik, berbeza dan di luar kelainan trend fesyen lebaran jika hendak dibandingkan dengan jenama-jenama tempatan yang lain.

Stail baju kurung kedah yang diberi sentuhan moden.

Ilham kreatif baju kurung dengan padanan fabrik renda dan batik.

Menggunakan kata kunci ‘Gadis Perkasa’ sebagai lambang koleksi ini, rekaan yang dipersembahkan merangkumi siluet-siluet busana tradisi seperti baju kebaya labuh, baju kedah, baju kurung dan baju kebaya renda. Setiap satunya diberi suntikan gaya yang lebih ceria dan tidak rigid. Daripada pemilihan fabrik pula, selain menggunakan fabrik tradisi Malaysia, Priscilla turut menggunakan fabrik-fabrik tradisional dari negara serantau seperti Indonesia, Hong Kong, India, Jepun dan Korea. Koleksi yang memiliki 12 rekaan ini dilihat cuba menyatukan dan meluaskan nuansa gaya wanita Melayu dengan latar belakang berbilang kaum dan juga persekitaran.