JIKA diukur perjalanan seni dua nama besar ini, masing-masing mempunyai pengalaman dan rentetan yang tersendiri.

Perjalanan seni aktres cantik, Lisa Surihani, lebih menarik dan tempoh membina kerjaya itu lebih lancar berbanding pelakon hebat, Namron.

Namun, bukan bermakna Namron hanyalah nama picisan dalam industri kerana masing-masing mempunyai kredibiliti tersendiri.

Namron mula dikenali menerusi lakonan skrin filem, Paloh, pada tahun 2003 dan memegang watak utama manakala nama Lisa pula mula mendapat perhatian selepas meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22)  menerusi filem, I’m Not Single, pada tahun 2008.

Pun begitu, Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed, 27, tidak pernah mendabik dada apatah lagi berbangga dengan perjalanannya sebagai anak seni.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah menyangka perjalanan seni saya berjalan lancar sebegini. Sejak awal pembabitan lagi, saya tidak meletakkan sasaran untuk mencapai populariti.

"Niat saya hanya satu, mencari rezeki yang halal dan apa yang saya dapat hari ini adalah rezeki daripada-Nya. Syukur Alhamdulillah.

"Saya tidak suka cakap riak atau meninggi diri kerana apa yang kita dapat hari ini tidak semestinya ia berkekalan. Saya sentiasa berdoa agar rezeki saya sentiasa ada dan segala urusan saya dipermudahkan," kata isteri Yusry Abd Halim, pemilik syarikat produksi, KRU Studio, ini.

Sementara bagi pemilik nama sebenar, Shahili Abdan, 43, dia tidak pernah menyesal bergelar anak seni walaupun perjalanan kariernya tidak semudah selebriti lain.

"Saya mula terlibat dengan seni lakonan pada awal 1989 lagi menerusi Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ketika itu, saya hanya terlibat menerusi lakonan pentas teater sahaja.

"Sebelum ini, saya lebih kepada bidang pengarahan teater sehinggalah pada 2003, saya mengenal lakonan skrin.

"Walaupun ia mengambil masa lama, namun saya bersyukur kerana rezeki saya dalam industri sememangnya tidak pernah terduga," katanya yang baru sahaja selesai penggambaran drama 13 episod untuk RTM, Anak Hero dan bakal menjalani penggambaran drama 16 episod, Dia Tetap Ayah, terbitan Suhan Movies.

Lisa kalis kontroversi

Walaupun kebanyakan golongan selebriti gemar mendapatkan populariti menerusi kontroversi yang disiarkan di dada-dada akhbar dan internet, bagi Lisa, dia tidak memerlukan semua itu.

Malah, Lisa adalah salah seorang selebriti yang kurang dikaitkan dengan kontroversi yang boleh mencemarkan imejnya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa formula dalam menangani kontroversi kerana sebagai manusia biasa, masing-masing tak lepas daripada melakukan kesilapan.

"Namun, saya cuba untuk lari daripada kontroversi yang boleh mendatangkan kesan buruk. Seboleh-bolehnya, saya akan jaga diri dan perangai saya dengan baik.

"Lagipun, saya tidak suka kontroversi dan tidak selesa jika dikaitkan dengan kisah rumah tangga Yusry sebelum ini. Saya minta agar pihak berkenaan menghormati orang lain dalam apa jua cara gurauan," katanya.

Ditanya mengenai masa untuk bersama keluarga, Lisa berkata, walaupun sibuk, namun dia tetap mengutamakan keluarga terutamanya suami.

"Jadual kerja saya tidak menentu. Begitu juga dengan Yusry yang terpaksa bekerja di luar daerah dan ada kalanya ke luar negara.

"Namun, seboleh-bolehnya, saya akan luang masa bersama walaupun sekejap. Kalau saya tiada kerja, saya akan ikut Yusry bekerja," katanya yang baru sahaja pulang dari Langkawi menemani suaminya dalam aktiviti KRU Akademi menerusi program Jelajah Kreatif Ekspres.

Jadi duta kamera

Dipilih sebagai wajah baru untuk mempromosikan produk terbaru, kamera Sony Nex-3N, Lisa mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk mengajak masyarakat mendapatkan produk itu.

Katanya, sebagai duta, dia bertanggungjawab untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada pelanggan untuk mencuba teknologi terbaru kamera ini.

"Kamera ini bukanlah untuk dibeli semata-mata dan hasrat Sony bukanlah mendesak masyarakat untuk membeli.

"Ia lebih kepada pengenalan kepada masyarakat mengenai produk yang dilengkapi teknologi serba canggih. Kami akan memperkenalkan kamera ini dan cuba memberi pendekatan kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran.

"Pada masa sama, Sony juga melancarkan peraduan dalam talian, Jom Meriah bersama Lisa Surihani, yang bakal tamat pada 30 Jun 2013," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lisa baru sahaja selepas menjalani penggambaran filem, Manisnya Cinta di Cappadoccia.

Selain Lisa, filem arahan Bernard Chauly dan ia turut dibintangi Shaheizy Sam, Fazura, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Zaibo dan Rafidah Abdullah.

Namron arah filem sendiri

Walaupun sibuk dengan beberapa tawaran lakonan, namun ia tidak menghalang Namron untuk menghasilkan produk sendiri.

Bakal tampil dengan filem pertamanya, Psiko Pencuri Hati, akui Namron, pengalaman mengarah teater tentunya berbeza dengan filem.

"Walaupun pernah mengarah teater dan beberapa karya indie, namun tetap ada perbezaan dari segi masa, kos, jalan cerita dan penyampaian.

"Kalau karya indie, saya tidak perlukan modal yang besar dan ada kalanya tidak memerlukan modal langsung. Namun, menerusi filem ini, saya perlu mengkaji dengan lebih mendalam mengenai peraturan tayangan yang ditetapkan, kos dan jalan cerita.

"Pun begitu, setiap karya pasti ada kebaikan dan keburukannya yang tersendiri," katanya yang turut membariskan pelakon hebat termasuk Bront Palarae, Syarifah Amani dan Syed Hussein menerusi filem genre thriller yang bakal ditayangkan pada penghujung Ogos nanti.

Filem itu mengisahkan kehidupan penulis novel yang menghasilkan karya mengenai pembunuhan bersiri.

Sesuai watak jahat?

Nama Namron mungkin lebih sinonim dengan watak-watak antagonis seperti dalam filem, Langgar dan drama bersiri, Karlos.

Namun, akui Namron, dia tidak hanya statik kepada satu watak sahaja dan pernah mempelbagaikan watak dalam lakonannya.

Katanya, mungkin kerana budaya penonton yang lebih berminat dengan watak agresif menjadikan lakonannya sebagai watak biasa sukar mendapat impak di hati penonton.

"Sebelum ini, saya pernah membawa watak seperti ustaz dan naif. Namun, ramai yang tak nampak. Bagi saya, ada tiga jenis watak yang senang diterima iaitu watak romantik, komedi dan antagonis.

"Walaupun saya lebih sinonim dengan watak jahat, namun karakter sebenar saya bukanlah begitu. Ramai di kalangan rakan yang menyifatkan saya suka berjenaka.

"Sebagai pelakon, saya harus menyelami watak-watak yang diberi untuk memberi impak berkesan kepada penonton. Kepuasan penonton adalah kepuasan untuk diri sendiri," katanya yang turut menguruskan syarikat persendirian, Ayaq Hangat Entertainment, untuk menguruskan bidang teater.

Tidak sesekali meminggirkan dunia teater, syarikat miliknya yang baru sahaja ditubuhkan pada Februari lalu itu turut menguruskan beberapa bengkel untuk lakonan, teater kanak-kanak, produksi dan pencarian bakat.

Malah, dijangkakan, pada awal November nanti, Ayaq Hangat Entertainment bakal menampilkan teater dengan kerjasama Rumah Anak Teater (RAT) Production.