PUTRAJAYA - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melancarkan Dekad Bahasa Kebangsaan bagi melakar pelan komprehensif menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa pilihan utama di negara ini, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata pelan itu antara lain akan memastikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak tergugat dengan usaha kementerian meningkatkan tahap penguasaan bahasa  Inggeris dalam kalangan rakyat.

Meningkatkan keupayaan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa yang berkait dengan kekuatan ekonomi serta membantu kebolehpasaran rakyat merupakan satu daripada fokus kementerian.

"Bagaimanapun, usaha memartabat bahasa kebangsaan tetap akan diteruskan bukan sahaja di tanah air tetapi turut melangkaui peringkat serantau dan global," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Majlis yang diadakan bersekali dengan sambutan Aidilfitri itu turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.

Maszlee berkata Kempen Membaca Kebangsaan yang diperkenal sekitar 1990-an juga akan dihidupkan semula bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata semua agensi di bawah kementerian akan dilibatkan bagi menghidupkan semula kempen tersebut dalam tempoh dua tahun selain kerjasama dengan kementerian lain.

Maszlee berkata budaya membaca dalam kalangan rakyat masih belum mencapai tahap memuaskan di mana secara realitinya ia agak jauh ketinggalan berbanding negara maju lain.

"Kempen yang akan diterajui DBP itu akan mengambil pendekatan yang agresif, radikal dan tidak konvensional kerana kita menyasarkan rakyat Malaysia akan dikenali sebagai rakyat paling banyak membaca di dunia," katanya tanpa menjelaskan pendekatan itu secara terperinci.

Maszlee berkata usaha itu juga antara lain bagi memartabatkan dan meletakkan semula DBP setaraf dengan British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute yang terkenal dalam memperjuangkan bahasa di negara masing-masing.

Sementara itu, Maszlee yang ditemui pemberita berkata kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) tetap akan melaksanakan perkara yang terkandung dalam manifesto pilihan raya termasuk hal berkaitan mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di sekolah persendirian Cina.

"Kita akan pastikan apa pun dasarnya, keputusan yang kita buat tidak akan ada pusingan U, tidak akan ada flip flop dan ia mesti menyeluruh," katanya dan berseloroh ia tidak akan mengambil masa sehingga 60 tahun untuk diiktiraf.

Pada Ahad lepas, Teo dilaporkan berkata  UEC dirancang supaya diiktiraf sebelum hujung tahun ini.

Maszlee berkata beberapa aspek perlu diambil kira sebelum tindakan itu diambil bagi menjamin status bahasa Malaysia tidak terancam dengan pengiktirafan sijil tersebut.

Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji UEC boleh digunakan untuk memasuki institut pendidikan tinggi awam dengan syarat pemohon mempunyai kredit dalam Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Bernama