Shah Alam - Peperiksaan bertulis SPM Ulangan 2018 akan bermula pada 25 hingga 27 Jun 2018.

Seramai 11,057 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM Ulangan pada tahun ini di 213 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan berkata, seramai 1,649 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

"Tiga mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan SPM Ulangan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Mathematics," katanya kenyataan media yang diemel pada jam 4.20 petang ini.

Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi ketika peperiksaan tersebut berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.