LEBARAN tahun ini memberi satu pengalaman baharu buat pasangan romantis, Amar Baharin dan Amyra Rosli apabila menyambutnya bersama putera tercinta, Aqeef Anaqi, lapan bulan.

Menurut Amar dan Amyra, jika tahun lalu mereka menyambut lebaran sebagai suami isteri, tahun ini pastinya berbeza kerana Aqeef bersama mereka untuk berjumpa dengan sanak saudara di sekitar Kuala Lumpur, Semenyih dan Pulau Pinang.

"Tidak dinafikan bila tahun pertama menyambut perayaan sebagai parent, persiapan tentunya dilebihkan pada anak.

"Kami juga teruja untuk membawa Aqeef bertemu sanak saudara. Percaya atau tidak, masih ada lagi saudara mara yang belum pernah bertemu Aqeef lantaran kekangan waktu.

"Jadi kami ambil kesempatan masa hari raya nanti untuk pusing bertemu sanak saudara," ujar pasangan ini ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Terima Kasih 2018, baru-baru ini.

Amar, Amyra dan Aqeef dipilih sebagai duta kempen yang mewakili TV3 dan TV9 sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

Tambah Amar, disebabkan mereka berdua sama-sama berasal dari Kuala Lumpur, jadi tidak ada masalah buatnya dan Amyra.

"Macam tahun lepas, dalam masa sehari kami dapat pusing beraya di rumah keluarga kedua-dua belah pihak.

"Bukan itu sahaja, kami juga mengambil kesempatan pada cuti Aidilfitri untuk membawa keluarga bercuti," katanya.

Lebih istimewa, selain kali pertama menyambut Aidilfitri bertiga, mereka juga turut dilantik sebagai duta Primavalet dan secara tidak langsung dihadiahkan 30 pasang baju sedondon daripada jenama tersebut.

"Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga dan rezeki anak juga, kami adalah duta Primavalet untuk pakaian keluarga, jadi kami sudah disediakan 30 pasang baju sedondon untuk digayakan. Bagaimanapun ada baju yang sudah kami pakai lebih awal untuk sesi fotografi dan buka puasa sebagainya.

"Jadi tidak pening untuk fikir pakai baju apa sebab hanya perlu matchkan warna sahaja," jelas Amyra.

Ditanya mengenai kemunculan mereka bertiga yang sentiasa menjadi perhatian, Amar, 33, berkata, sejak awal lagi mereka tidak pernah merancang untuk mendedahkan Aqeef pada dunia glamor.

"Bagi saya ini rezeki Aqeef sejak lahir, tidak dinafikan banyak tawaran yang datang mahukan kami sekeluarga.

"Biasanya Aqeef adalah lead dan kami adalah supporting sahaja. Sejak dalam perut orang dah tunggu dia. Selagi tawaran itu tidak menyusahkan kedua belah pihak, kami akan terima.

"Malah dari awal lagi, kami tidak pernah merancang untuk menyekat rezeki dia dan ikut sahaja.

"Tapi bukan bermakna juga kami nak create dia untuk popular.  Malah kami juga tidak pernah plan untuk jadi keluarga bahagia. Kami buat macam biasa dan apa yang orang nampak itulah kami," jelasnya.