PENGACARA terkenal, Datuk Aznil HJ Nawawi menegur secara terbuka penggunaan papan iklan LED berwarna putih yang dipasang di sepanjang jalan sehingga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya.

Menerusi sebuah video pendek yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam, Aznil atau lebih mesra disapa sebagai PakNil menyatakan sikap tidak prihatin pihak terbabit boleh membahayakan pemandu terutamanya pada waktu malam.

“Siapalah yang reka (papan iklan) LED dekat lampu-lampu ini. Diorang fikir tak lampu yang terang ini boleh membuatkan  orang (pemandu)  silau. Boleh tak pilih warna?

“Kalau kot ya pun nak buat (papan iklan) LED, jangan pilih warna putih. Lagi silau mata orang pandu kereta,” luahnya pada kapsyen.

Tambahnya lagi, mungkin lebih baik sekiranya lampu papan iklan LED itu ditukar ke warna lain seperti biru atau hitam berbanding putih.

Teguran itu ternyata mendapat perhatian para pengikutnya di laman tersebut kerana ramai yang turut mengalami pengalaman yang sama dengan PakNil.

Rata-ratanya mengharapkan agar teguran PakNil itu diberi perhatian yang serius agar pihak terbabit dapat mengambil  tindakan yang sewajarnya.