PENYANYI popular menerusi lagi Di Matamu berharap isu putus tunang dengan aktres Elfira Loy tidak menjadi topik utama ketika di Hari Raya Aidilfitri nanti.

Memetik laporan portal hiburan berlainan, Sufian bersyukur kerana ahli keluarga dan saudara-maranya memahami berhubung isu yang dilaluinya pada Februari lalu.

"Saya yakin mereka tidak akan bangkitkan lagi isu itu apabila berkumpul nanti. Itu yang saya harapkan daripada semua kerana saya sudah melupakan apa yang berlaku," katanya.

Bercakap soal sambutan hari raya menjelang tiba, Sufian, 26, berkata, dia dan ahli keluarganya akan menyambut hari lebaran secara bersederhana di Mersing, Johor.

"Tidak banyak persiapan yang dibuat. Baju raya ada dalam empat lima pasang, malah sebahagiannya pernah dipakai ketika saya menjayakan rakaman program khas raya.

"Saya juga tidak lupa menghadiahkan persalinan untuk keluarga. Jika ada yang berkenan di mata, saya akan beli. Seronok rasanya apabila dapat membeli buah tangan sebagai kenangan buat keluarga tersayang," katanya.