Siapa yang tidak mengenali selebriti terkenal Irma Hasmie Ibrahim yang cantik jelita. Isteri kepada Redza Syah Azmeer dan ibu kepada Redza Syah Irfhan dan Irma Nur Naylie ini kini masih lagi bergiat aktif dalam bidang pengacaraan dan juga aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Terbaru Irma juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan tudung dengan jenama Hasmie.

Walaupun sibuk dengan tugas-tugas lain, hos program Assalamualaikum TV AlHijrah ini tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan dalam hidupnya. Irma juga aktif di laman sosial memaparkan gambar-gambar bersama anak dan keluarga selain aktiviti-aktiviti seharian yang dilakukan olehnya.

“Sibuk dengan tugas lain, keluarga tetap jadi keutamaan saya. Urusan suami dan anak-anak tidak saya abaikan. Saya bersyukur dengan anugerah yang Allah berikan kepada saya iaitu mempunyai suami yang baik dan memahami serta anak-anak yang comel. Saya akan jalankan amanah Allah ini dengan baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak saya.”

Baru sahaja pulang dari Misi kemanusiaan di Sepanyol, menurut Irma dia beruntung mempunyai suami yang banyak menyokong dan menjadi tulang belakang untuknya ketika dia memerlukan.

“Masa saya terlibat dengan kempen "A Tile For Seville" bulan Mac baru-baru ini, saya perlu ke luar negara selama sembilan hari. Sepanjang tempoh tersebut, suamilah yang menjaga anak-anak bersama ibu dan juga ibu mentua. Saya memang sangat bertuah mempunyai suami yang cukup memahami dan menyokong setiap apa yang saya lakukan.

“Alhamdulillahlah syukur sangat kerana suami saya sering membantu saya menguruskan anak-anak yang sedang membesar. Faham sahajalah budak-budak tengah membesar banyak ragamnya, suami sayalah yang bantu saya melayan karenah Irfhan dan Naylie.”

Irma Sambut Ke Hari Ibu?

Hari ibu biasanya disambut setiap tahun pada Ahad kedua bulan Mei. Bagi Irma sendiri setelah menjadi seorang ibu kepada dua anaknya yang comel, kini barulah dia lebih mengerti dan merasai pengalaman sendiri menjadi seorang ibu.

“Pengertian Hari Ibu bagi saya kita akan lebih faham dan rasa sepenuh hati apabila kita sendiri menjadi seorang ibu. Ketika itu saya akan rasa terharu dan sedih mengenang susah payah mama mendidik dan membesarkan saya. Tak ada kata yang boleh saya gambarkan.

“Apa yang saya risaukan adakah saya mampu membalas budi, jasa, kesusahan, keperitan, tenaga, kasih sayang serta apa saja yang mama telah berikan untuk saya. Hanya doa tanpa henti buat mama saya serta tak lupa juga ibu mentua, mama Azizah juga yang merupakan seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh membahagiakan semua ahli keluarga kami. Moga Allah mengangkat tinggi semua wanita yang bergelar ibu.”

Hubungan Irma dengan kedua ibu dan ibu mentuanya sememangnya rapat, malah ibu dan ibu mertuanya juga menjalinkan hubungan yang sangat erat. Mereka bertiga banyak berkongsi banyak perkara dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Ditanya tentang sambutan Hari Ibu yang biasanya dibuat oleh Irma dan keluarga, menurutnya suami dan anak-anaknya menjadikan setiap hari mereka adalah hari istimewa buat Irma.

“Tiada hari khusus untuk diraikan. Tapi suami dan anak-anak suka buat perkara yang baik untuk kami semua lakukan. Contohnya kalau nak bagi hadiah, kami tak tunggu hari-hari istimewa. Tak tunggu waktu khas pun sebab bagi kami masa tak tunggu kita. Setiap masa kita kena hargai orang-orang di sekeliling kita, tambahan pula dengan orang yang rapat dengan kita. Ia penting supaya kita dapat eratkan lagi hubungan yang sedia ada.”

Tambah Irma, setiap kali Hari Ibu, ucapan untuknya pasti kunjung tiba, namun meraikan itu sentiasa mereka amalkan sesama sendiri walaupun bukan pada hari istimewa.