Bakal meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-14 pada 3 Ogos ini, nyata kebahagiaan yang dimiliki oleh Aaron Aziz dan Diyana Halik ada kalanya mendatangkan rasa cemburu di kalangan mereka yang mengenali. Belum pernah lagi rasanya masyarakat mendengar mengenai kisah rumah tangga mereka yang bergolak. Apa yang dilihat peminat, hanyalah yang manis-manis sahaja.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kami juga manusia biasa yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Berpegang kepada prinsip rumah tangga yang menjurus kepada saling melengkapi, kami layari bahtera rumah tangga ini dengan sebaiknya. Alhamdulillah, kehadiran tiga orang anak kami menjadi kekuatan utama dalam hubungan kami suami isteri,” kata Aaron sambil memeluk isteri tersayang.

Berbanding dahulu, kesabaran Aaron sebagai seorang suami dan ayah semakin dirasakannya kini. Dengan gelagat anak-anak yang semakin meningkat remaja juga menjadikan Aaron mahupun Diyana semakin bertoleransi dengan mereka.

“Biarpun kami sering dihimpit kesibukan kerja, namun setiap kelapangan waktu yang ada akan digunakan untuk bersama dengan anak-anak tersayang,” ujar ayah penyayang kepada Danish Anaqi, 13, Dwi Ariana, 11, dan Dahlia Arissa, 7, ini.

Dalam pada itu, Aaron tidak menafikan rumah tangganya turut melalui fasa pergolakkan dan diuji dengan pelbagai masalah.Bagaimanapun masalah tersebut dapat diselesaikan apabila ia tidak diperbesar-besarkan, sehingga mencetuskan masalah yang lebih berat.

"Setiap perkahwinan lima tahun atau 50 tahun sekalipun, pasti akan ada masalah. Ini kerana setiap perkahwinan akan sampai satu tahap yang akan diuji. Begitu juga kami. Tapi saya dan Aaron mempunyai sifat yang kontra, yang mana dia cepat marah dan kuat membebel. Manakala saya lebih banyak diam dan merajuk. Namun, perjalanan hubungan kami daripada tidak ada apa-apa hingga ke sekarang, membuatkan kami lebih menghargai antara satu sama lain," ujar Diyana pula sambil merenung suami tercinta.

Dalam pada itu Aaron turut mengakui, ramai kawan terdekat yang meminta pendapat dan nasihat daripadanya untuk mereka melayari rumah tangga. Namun kata Aaron, apa yang diamalkan dalam hubungan rumah tangganya selama ini ialah sentiasa berpegang kepada cinta, kasih dan amanah.

"Saya selalu lihat bagaimana hubungan ayah dan ibu saya. Jadi saya aplikasikan dalam rumah tangga kami. Ada kawan-kawan yang minta nasihat dan tip untuk mulakan fasa rumah tangga mereka.Saya hanya berpegang kepada tiga prinsip iaitu pegang pada cinta. Jika tiada cinta, kita pegang pada kasih dan jika sudah tiada kasih, kita perlu jaga amanah yang dipertanggungjawabkan," ujarnya penuh makna.

Sakit masih ada cuma...

Tampak sihat dan gagah dalam drama rantaian popular, Tuan Anas Mikhael dan Isteri Tuan Ihsan, aktor yang kekal kacak pada usia 41 tahun ini, dalam diam menanggung sakit sendi tengkuk sejak empat tahun lalu.Mula mengalami kesakitan selepas ditimpa kemalangan ketika penggambaran program realiti, Fear Factor Malaysia pada 2013, Aaron mendedahkan sakit pada sendi tengkuk tidak pernah hilang dan dalam keadaan teruk, Aaron terpaksa memakai alat penyokong leher.

Menceritakan masalah yang dihadapi, Aaron berkata, “Sakit pada sendi tengkuk ini mengambil masa untuk pulih.Syukurlah kerana saya seorang yang tidak pernah mengabaikan rutin pemeriksaan. Dalam masa yang sama, saya enggan menjadikan kesakitan itu sebagai penghalang karier seni saya.”

Tambahnya lagi, "Penyakit ini bukan boleh hilang macam itu saja. Ia ambil masa. Ada minit bergerak, berjalan dan duduk, saraf tegang dan mula rasa sakit. Namun Alhamdulillah, sakit ini semakin berkurangan selepas mendapatkan rawatan.”